malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Kit Siang: 'Jalan roti canai' bukti Najib gagal di Cameron Highlands
Diterbitkan:  Jan 17, 2019 10:49 AM
Dikemaskini: 6:37 AM
ADS

PRK Cameron | Veteran DAP Lim Kit Siang menggesa bekas perdana menteri Najib Abdul Razak menggunakan "jalan roti canai” sepanjang membantu BN berkempen dalam pilihan raya kecil (PRK) Cameron Highlands, bermula hari ini sehingga Ahad.

"Saya difahamkan bahawa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan tiba di Cameron Highlands untuk membantu kempen BN bagi PRK Cameron Highlands.

"Sementara beliau berada di sini (Cameron Highlands) selama empat hari bermula Khamis hingga Ahad, besar harapan saya sekiranya beliau dapat berkempen sehingga ke kampung pedalaman Orang Asli menggunakan "jalan roti canai” bagi melihat sendiri bagaimana beliau, selaku perdana menteri keenam, telah mengabaikan kebajikan Orang Asli di Cameron Highlands dan di seluruh negara apabila gagal menyediakan infrastruktur paling asas untuk masyarakat tersebut, "kata Lim dalam satu kenyataan.

Menurut Lim, sepanjang lawatannya ke kampung Orang Asli beliau mendapati Kampung Janggap, Kampung Lemoi, Kampung Barehnyis dan Kampung Orang Asli di Pos Terisu adalah antara kawasan yang mempunyai jalan dan laluan yang paling teruk.

"Sukar untuk saya lupakan pengalaman terperangkap di Kampung Orang Asli Simoi Lama pada ambang tahun baharu bersama-sama Anggota Parlimen Bentong, Wong Tack, Adun Tanah Rata Chiong Yoke Kong, dan calon PH bagi PRK Cameron Highlands M. Manogaran, di mana kami terputus dari dunia luar dan terpaksa merentas arus deras sungai untuk sampai ke Pos Lenyang dan Pos Titom.

"Secara berseloroh, saya diberitahu jika kenderaan saya dihanyutkan oleh arus sungai yang deras, tidak mustahil ia akan terus hanyut sehingga ke Lipis! katanya.

Najib akan mula berkempen untuk BN di Cameron Highlands hari ini.

Kawasan parlimen Cameron Highlands memiliki peratusan pengundi Orang Asli yang paling besar merangkumi lebih 20 peratus daripada 32048 pemilih berdaftar.

"Bolehkah Najib jelaskan mengapa setelah 60 tahun Merdeka, Orang Asli masih lagi tidak disediakan dengan perkhidmatan infrastruktur asas seperti bekalan air bersih, elektrik, sistem jalan yang baik, pendidikan asas serta perubatan dan yang paling penting, berhubung penyelesaian tanah adat Orang Asli?soal Lim.

Kata Lim, walaupun PH bertekad mahu menyelesaikan masalah berhubung tanah adat Orang Asli, namun kerajaan pusat itu harus menunggu sehingga pilihan raya umum ke-15.

Tambahnya, itu pun selepas PH berjaya mentadbir kerajaan negeri Pahang dan melantik menteri besarnya.

"PRK Cameron Highlands akan menjadi ujian paling penting untuk melihat sejauh mana PH berpeluang untuk menawan Kerajaan Negeri Pahang pada PRU15 nanti supaya kami dapat menyelesaikan pelbagai ketidakadilan dan masalah melibatkan Orang Asli khususnya yang membabitkan soal tanah adat,' tambahnya.

PRK Cameron Highlands diadakan selepas Mahkamah Pilihan Raya memutuskan kerusi berkenaan perlu dikosongkan kerana berlaku pembelian undi yang memberi kemenangan kepada Naib Presiden MIC pada PRU lalu.

MIC tidak membuat rayuan kepada keputusan itu dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kemudian mentepkan 12 Jan sebagai hari penamaan calon dan 26 Jan sebagai hari mengundi.

SPR menetapkan Sivarraajh tidak layak bertanding bagi PRK itu.

Lihat Komen