malaysiakini logo
story-image
ADS

Naib Presiden PKR, Zuraida Kamarudin menafikan artikelnya yang diterbitkan Utusan Malaysia dua hari lalu merujuk kepada parti atau presiden parti itu, Anwar Ibrahim.

Beliau berkata ia hanya merupakan 'pandangan umum' yang tidak merujuk kepada mana-mana parti politik mahupun pemimpin.

"Saya tak ada menuduh PKR kerana sebagai seorang ahli politik, sebagai warganegara Malaysia, saya berhak untuk keluarkan pandangan dan apakah visi saya.

"Jadi ini adalah visi politik untuk masa depan, jadi tidak semestinya menuding, menuju kepada sebuah parti tertentu, so pada saya pengamatan saya kepada keseluruhannya, pada amnya," katanya ketika ditemui di seminar politik di Petaling Jaya hari ini.

Pada 13 Jan, Zuraida dalam artikel di Utusan Malaysia berkata pelantikan mereka yang kalah oleh "parti -parti tertentu” nyata tidak menghormati hasrat akar umbi dan merupakan pengkhianatan kepada demokrasi

Beliau berkata perlembagaan parti itu membenarkan presidennya membuat keputusan mengenai perlantikan tertentu, tetapi ia perlu dilakukan melalui rundingan.

Walaupun tidak menamakan mana-mana parti politik atau pemimpin, pandangannya dilihat sebagai serangan terhadap Anwar.

Zuraida bagaimanapun berkata media sendiri menyimpulkan bahawa beliau merujuk kepada Anwar.

Perbalahan antara kumpulan timbalan presiden PKR, Azmin Ali dan naib presiden Rafizi Ramli dilihat semakin ketara sejak pemilihan parti itu pada November 2018.

Selepas pemilihan parti yang rata-ratanya dimenangi kumpulan Azmin, Anwar melantik Rafizi dan Saifuddin Nasution Ismail, masing-masing sebagai naib presiden parti dan setiausaha agung.

Anwar juga memilih anggota majlis kepimpinan pusat (MPP) parti itu dan melantik 14 pengerusi PKR negeri.

Sebahagian daripada mereka yang dipilih dalam MPP tidak bertanding pada pemilihan lalu atau kalah di peringkat MPP atau peringkat cabang.

Manakala ada pula yang dilantik menerajui PKR negeri adalah individu yang dianggap masih muda.

Zuraida dalam artikelnya menyatakan pelantikan itu dibuat oleh mereka yang mengkhianati demokrasi dan takut akan kalah.

Sementara itu, Zuraida berkata beliau tidak mengetahui kemungkinan rombakan kabinet dalam masa terdekat seperti yang dijangkakan beberapa pihak.

"Saya tidak tahu tentang rombakan (kabinet)," katanya.

Sebelum ini Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dipercayai mungkin merombak kabinet dan beberapa menteri akan digugurkan.

Lihat Komen