malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Hadi turun kempen Cameron Highlands Ahad ini
Diterbitkan:  Jan 15, 2019 5:53 PM
Dikemaskini: 9:53 AM
ADS

PRK CAMERON | PAS mengulangi pendirian akan memberi sokongan kepada calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands 26 Jan ini, meskipun undi PAS bukan penentu kemenangan BN dalam PRK itu.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata beliau sendiri akan turun berkempen Ahad ini sebagai tanda sokongan kepada pihak pembangkang bagi memenangi PRK itu.

"Sama ada undi PAS akan menjadi penentu atau tidak, ia hanya akan diketahui selepas 'post mortem' dibuat selepas PRK ini.

"Tapi untuk PRK (Cameron Highlands), Insya-Allah, kita akan memberi kerjasama kepada calon parti pembangkang (atas dasar) beliau (sebenarnya) tidak mewakili Umno, PAS atau mana-mana parti (tetapi) hanya menggunakan simbol Barisan Nasional... Insya-Allah saya akan turun sendiri berkempen pada Ahad ini,” katanya.

Abdul Hadi yang juga anggota parlimen Marang berkata demikian kepada pemberita selepas majlis makan tengah hari dan perasmian Dewan Dato' Seri Tuan Guru di Darul Iman Training Centre (DITC), Teluk Kalong, Kemaman, di Terengganu hari ini.

Majlis perasmian disempurnakan Menteri Besar Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Sosial Terengganu, Hanafiah Mat dan Ketua Pegawai Eksekutif DITC, Shuhaimi Embong.

PRK Cameron Highlands pada 26 Januari ini menyaksikan pertandingan empat penjuru antara Timbalan Pengerusi DAP Pahang M. Manogaran yang mewakili PH, bekas pegawai kanan polis Ramli Mohd Nor (BN); bekas pensyarah Institut Aminuddin Baki, Sallehudin Ab Talib; serta petani Wong Seng Yee yang masing-masing bertanding atas tiket Bebas.

PRK Parlimen Cameron Highlands diadakan selepas Mahkamah Pilihan Raya mengisytiharkan kemenangan C Sivarraajh daripada BN pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) Mei tahun lepas, terbatal dan tidak sah apabila didapati berlaku amalan rasuah untuk mempengaruhi pengundi di kawasan itu.

- Bernama

 

Lihat Komen