malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
SPRM siasat baju kalis api bomba didakwa mudah terbakar
Diterbitkan:  Jan 15, 2019 3:37 PM
Dikemaskini: 8:33 AM
ADS

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan sedang menyiasat bekalan baju kalis api yang "tidak selamat" kepada pasukan bomba di seluruh negara.

SPRM mengulas laporan media tempatan yang menyebut baju kalis api itu dibuat daripada bahan plastik mudah terbakar, polyester.

"SPRM telah menghantar contoh baju kalis api yang dibekalkan oleh kontraktor ini kepada Jabatan Kimia dan mengesahkan baju ini tidak selamat digunakan kerana tidak mengikut standard yang telah ditetapkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM)," kata kenyataan suruhanjaya tersebut hari ini.

SPRM berkata pihaknya sedang menunggu kerjasama perundangan mengenai hal itu dari United Kingdom.

"Proses siasatan hampir selesai.

"SPRM hanya menunggu keterangan daripada United Kingdom yang dipohon melalui Bantuan Perundangan Bersama (MLA)," jelas kenyataan itu.

Bomba kongsi baju kalis api

Harian Metro dalam laporannya menyatakan SPRM merampas kira-kira 6,000 baju kali api bermasalah pada 2017.

Pakaian itu dibekalkan pada 2016 dan bernilai di antara RM2,400 ke 2,500 seunit. Berikutan rampasan berkenaan, tempahan terhadap bekalan seterusnya juga dibatalkan.

Bagaimanapun, sebagai akibatnya anggota bomba dan penyelamat kekurangan pakaian memadam kebakaran dan terpaksa berkongsi baju kalis api "usang" atau menggunakan baju yang telah koyak, kata laporan akhbar itu lagi.

"Difahamkan, baju kalis api yang digunakan seluruh pegawai dan anggota bomba seluruh negara kini berusia antara lima hingga 10 tahun.

"Selain menggunakan baju kalis api yang ‘nazak’, antara 30 peratus hingga 40 peratus anggota bomba di seluruh negara dilapor berkongsi baju kalis api itu dengan rakan mereka.

"Antara Balai Bomba yang kekurangan baju kalis api dan terpaksa berkongsi sesama mereka dilaporkan berlaku di Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Hang Tuah dan Chow Kit, Kuala Lumpur; Ipoh dan Tapah, Perak; Shah Alam, Selangor; Alor Setar, Kedah; Seremban 2, Negeri Sembilan serta Johor Bahru, Johor," petik laporan Harian Metro.

SPRM menjelaskan siasatannya tidak menghalang jabatan bomba dan penyelamat daripada mendapatkan pakaian memadam kebakaran yang baru.

"SPRM ingin menegaskan bahawa siasatan yang dijalankan oleh SPRM tidak menghalang atau menyekat perolehan atau pembelian oleh JBPM.

"Sekiranya timbul sebarang keraguan berhubung isu ini, JBPM boleh menghubungi SPRM," kata kenyataan itu lagi.

Beberapa pihak di dalam jabatan bomba dan penyelamat dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan telah mengatur pembelian baju kalis api dari syarikat tertentu, lapor Harian Metro.

Lihat Komen