malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Latar agama, kaum calon faktor penting di Felda
ADS

PRK CAMERON | Ketika BN menjadi kerajaan pusat, isu kaum mana menjadi calon di kerusi parlimen Cameron Highlands bukanlah faktor utama bagi penduduk di kawasan Felda Sungai Koyan membuat pilihan bagi membawa suara mereka ke Dewan Rakyat.

Namun, selepas kerajaan persekutuan diambil alih oleh PH, sebahagian generasi kedua di Felda Sungai Koyan 3 kini berpendapat berkata aspek kaum seseorang calon tidak lagi dipandang enteng oleh mereka.

Jelas mereka, hal itu kerana beberapa insiden berbau perkauman yang timbul dalam tempoh lapan bulan PH mentadbir negara agak ketara.

Antaranya isu Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (Icerd) yang dibangkitkan oleh Menteri Perpaduan P Waythamoorthy dan rusuhan di kuil Sri Maha Mariamman di Seafield, Subang Jaya sehingga menyebabkan kematian seorang anggota bomba.

Salah seorang generasi kedua Felda di situ, Mohd Fadzil Suparman, bersetuju apabila ditanya sentimen kaum masih kuat Felda.

Mohd Fadzil Suparman

"Ya, majoriti penduduk di Felda Sungai Koyan 1, 2 dan 3 ini kan Melayu," katanya.

Justeru katanya disebabkan beberapa insiden perkauman yang agak ketara berlaku akhir-akhir ini ia menjadi kebimbangan dalam kalangan masyarakat setempat.

Felda Sungai Koyan 3 merupakan satu daripada tiga petempatan dalam kawasan DUN Jelai, iaitu satu daripada dua DUN di bawah parlimen Cameron Highlands.

Satu lagi DUN ialah Tanah Rata yang kini diwakili PH.

Semua kaum macam itu

Kerusi DUN Jelai pula dimenangi calon BN Wan Rosdy Wan Ismail yang kini dilantik menjadi menteri besar Pahang.

Bagi Yusman Zahari Zakaria, kebimbangan mereka itu tidak bermakna masyarakat Felda kini bersifat perkauman.

"Kami di masyarakat Felda tak rasis. Tidak timbul isu perkauman dalam Felda.

"Pada 2004 hingaa 2018, MIC jadi calon, kami tidak pernah ada perasaan rasis. Itu sebab kami menang," katanya.

Menurut Yusman, masyarakat di situ boleh menerima calon BN bukan Melayu dari MIC, K Devamany, yang memegang kerusi berkenaan selama dua penggal sejak 2004.

Sivarraajh

Pada 2013 pula katanya seorang lagi calon MIC, G Palanievel, mewakili kerusi parlimen terbabit.

Pada pilihan raya umum (PRU) lalu kerusi berkenaan kekal dimiliki BN melalui C Sivarraajh walaupun PH menawan Putrajaya. Mahkamah bagaimanapun mendapati berlaku rasuah semasa PRU ke-14 itu dan membatalkan kemenangan Sivarraajh.

Kata Yusman majoriti penduduk di Felda ialah Melayu dan mereka tidak bersikap rasis.

Cuma katanya memang menjadi kelaziman bagi mana-mana kaum untuk menjaga kepentingan masing-masing.

"Mana-mana kaum dalam dunia sekalipun, begitulah," katanya.

Hanya mahu dikenali sebagai Wan, seorang lagi generasi kedua Felda yang ditemui Malaysiakini berkata meskipun BN kali ini meletakkan calon Orang Asli, ia bukan isu besar kerana agamanya tetap Islam.

Empat calon yang bertanding dalam PRK Cameron Highlands

Untuk pertama kalinya, BN meletakkan wakil dari calon Orang Asli iaitu Ramli Mohd Nor dari suku Semai. Beliau juga merupakan seorang pesara polis berpangkat tinggi.

PH pula meletakkan calon dari DAP, M Manogaran. Persaingan itu turut melibatkan dua calon bebas iaitu Salehuddin Ab Talib dan Wong Seng Yee.

Wan, 36, juga mengkiritik 10 janji 100 hari PH yang didakwannya gagal ditunaikan keseluruhannya dan ia boleh menjadi penanda aras terhadap keupayaan kerajaan pusat.

Katanya kenyataan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Azmin Ali yang berjanji bahawa kerajaan akan mencari kaedah untuk menyelesaikan hutang Felda pula tetap diragui.

"Kalau dia (PH) janji apa-apa pun dah susah nak percaya sebab manifesto yang besar 100 hari pertama tu pun dia tak tunaikan.

"Kita nak tahu penyelesaian. Kata nak transparent (telus), tapi tak bagitahu," katanya.

Kerusi Cameron Highlands mempunyai 32,048 pengundi yang terdiri daripada 34 peratus Melayu, 30 peratus Cina, 15 peratus India dan 22 peratus Orang Asli. 

Lihat Komen