malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Kubur 26 tahun dibongkar kerana beza calon wakil rakyat
Diterbitkan:  Jan 13, 2019 4:11 PM
Dikemaskini: 8:31 AM
ADS

GLOBAL | Sebuah keluarga di Sulawesi, Indonesia membongkar dan memindahkan kubur berusia 26 tahun kerana tersinggung dengan kata-kata pemilik tanah kubur.

Kejadian yang berlaku di Desa Toto Selatan di Gorontalo itu dikatakan susulan pertengkaran berhubung perbezaan calon pilihan wakil rakyat antara kedua-dua pihak.

Abdusalam Polontolo yang merupakan keluarga pemilik kubur arwah Masri Dunggio yang dipindahkan berkata, keluarganya pernah diberi peringatan untuk mengundi calon dari parti Nasional Demokratik (NasDem) oleh keluarga Awano yang memiliki tanah kubur itu.

Keluarga Awano juga mengugut mengarahkan kubur yang dikebumikan di atas tanah mereka itu dipindahkan sekiranya keluarga Abdusalam tidak mengundi calon saranan mereka.

"Yang menyebabkan perkara ini berlaku adalah kata-kata yang digunakan keluarga Awano - 'kalau kamu tidak pilih (calon NasDem), ada yang mati tidak bisa dikuburkan di sini. Itu kuburan Masri harus dipindah'," cerita Abdusalam seperti dilapor Detiknews.

Selain kubur arwah Masri, perselisihan itu juga menyebabkan sebuah lagi kubur yang baru dibina setahun lalu dipindahkan.

Lebih tragik keluarga Awano mempunyai talian persaudaraan dengan arwah.

Jelas Abdusalam, meskipun kedua-dua pihak telah dipanggil oleh ketua kampung untuk berunding, keluarganya sudah terluka dengan kata-kata keluarga Awano.

Proses pemindahan kuburan itu dilakukan semalam berlangsung selama dua jam dan diiringi tangisan keluarga arwah.

Ketua Kampung Desa Toto Selatan, Taufik Baladraf mengakui bahawa ketika kedua-dua pihak dipanggil untuk berunding sekitar Dis lalu, terdapat pertikaian berhubung Pemilihan Umum (Pemilu) Legislatif Indonesia 2019.

"Kami sudah jemput kedua-dua pihak. Yang satu mengaku terlanjur emosi, jadi dia kata 'kalau mahu pindah boleh kalau tidak ya tidak masalah'.

"Tapi ibu pemilik kuburan tetap memilih pindah dan hanya minta diberi masa," jelas Taufik.

Pemilu Legislatif 2019 Indonesia akan diadakan pada 17 April depan bagi memilih 575 anggota Dewan Perwakilan Rakyat (DPR), 136 anggota Dewan Perwakilan Daerah (DPD), serta anggota Dewan Perwakilan Rakyat Daerah bagi penggal 2019–2024.

Lihat Komen