malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Hamas hargai Malaysia tegas tolak atlet Israel
Diterbitkan:  Jan 13, 2019 3:17 PM
Dikemaskini: 8:13 AM
ADS

Hamas menghargai keputusan kerajaan Malaysia yang kekal tidak membenarkan atlet Israel daripada memasuki negara bagi menyertai kejohanan sukan.

Dalam satu kenyataan, pertubuhan itu berkata ia mencerminkan pendirian tegas Malaysia yang menentang sebarang bentuk normalisasi hubungan dengan Israel.

"Kenyataan Perdana Menteri Malaysia Dr Mahathir Mohamad menunjukkan keteguhan Malaysia menyokong hak rakyat Palestin untuk mempertahan dan membebaskan tanah mereka yang dijajah, terutama Baitulmaqdis," kata Hamas.

Pada 10 Januari lalu, Mahathir berkata Malaysia tidak membenarkan atlet Israel daripada menyertai Kejohanan Renang Para Dunia 2019 di Kuching, Sarawak yang dijadual bermula 29 Julai hingga 4 Ogos depan.

Ia mengundang bantahan Jawatankuasa Para Olimpik Israel yang mendesak penganjur agar atlet mereka diberi visa.

Hamas secara khusus membangkitkan kenyataan Mahathir bahawa Malaysia tetap tidak akan memberi kebenaran dan penganjur boleh menarik semula hak penganjuran daripada Malaysia jika ingin berbuat demikian.

"Hamas memuji Malaysia atas pendiriannya dan menggesa semua negara Arab dan Muslim agar menghentikan normalisasi dengan Israel yang merupakan satu pengkhianatan kepada rakyat Palestin," kata Hamas.

Sementara itu, Liga Anggota Parlimen untuk Al-Quds turut menyatakan penghargaan kepada tindakan Malaysia dan menyifatkannya langkah berani di tengah-tengah usaha Israel untuk mengabsahkan "dasar perkauman dan agresif" melalui sukan dan kebudayaan.

"Kami juga menggesa negara Arab dan Muslim dan semua negara yang komited terhadap maruah kemanusiaan untuk menunjukkan semangat sama terhadap entiti yang tidak ragu untuk memusnahkan prinsip dan nilai yang ditegakkan semua undang-undang antarabangsa," kata pertubuhan itu dalam kenyataan.

Lihat Komen