malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Bersih mahu tok batin dilantik secara undian
Diterbitkan:  Jan 12, 2019 10:38 PM
Dikemaskini: 2:38 PM
ADS

Pertubuhan pendesak pembaharuan pilihan raya, Bersih, menggesa semua pihak semua calon PRK Cameron Highlands menyokong usaha supaya ketua kampung atau pemimpin masyarakat Orang Asli dilantik melalui undian.

Kenyataan itu dikeluarkan Bersih sehari selepas seorang senator dari PKR membuat kenyataan mengenai tok batin yang boleh kehilangan jawatan atau elaun jika didapati tidak menyokong Pakatan Harapan (PH).

Bagaimanapun Bob Manolan menafikan beliau membuat ugutan tersebut sebaliknya mendakwa ia disalah tafsir.

"Ugutan dibuat pada 11 hb Januari 2019 oleh Senator Bob Manolan Mohamad ke atas tok-tok batin agar menyokong kerajaan PH menunjukkan kemudaratan besar apabila pucuk pimpinan kampung atau komiuniti tidak dipilih oleh orang kampung, sebaliknya dilantik sama ada oleh kerajaan persekutuan atau kerajaan negeri.

"Sekiranya elaun sebanyak RM900 hingga 1200 - menurut Bob Manolan - boleh digunakan untuk memaksa sokongan tok batin kepada parti pemerintah, bagaimanakah komuniti Orang Asli boleh mengharapkan pemimpin mereka untuk membela hak mereka?

"Menafikan hak orang kampung memilih ketua dan pemimpin mereka pada asasnya satu bentuk korupsi pilihan raya apabila wakil-wakil parti pemerintah dilantik untuk memonopoli capaian kepada sumber kerajaan dan menyemai imbuhan," kata Bersih.

Menurut pertubuhan itu, semua kerajan negeri perlu mengadakan pilihan raya di peringkat kampung yang meliputi kampung tradisional, kampung baru, kampung tersusun dan komuniti Orang Asli atau asal.


Baca Penjelasan tentang isu tok batin Cameron Highlands


Katanya PH juga tidak harus mengulangi taktik menjijikkan untuk mewujudkan pimpinan kampung lantikan perseketuan di negeri-negeri yang diperintah oleh parti pembangkang untuk diisi oleh orang kuat parti pemerintah.

Menurut Bersih, ia pernah disuarakan oleh Naib Presiden Bersatu Abdul Rashid Abdul Rahman semasa mesyuarat agung tahunan parti berkenaan penghujung 2018.

Bersih juga berpendapat calon PH, M Manogaran, perlu membuktikan penolakannya terhadap tindakan Bob Manolan dengan memberikan sokongan kuat kepada cadangan pemilihan pemimpin masyarakat melalui undian.

Berkenaan Bob Manolan pula Bersih berpendapat senator terbabit harus disiasat mengikut Seksyen 9 Akta Kesalahan Pilihan Raya dan bukannya Seksyen 124b (aktiviti yang menjejaskan demokrasi berparlimen) Kanun Keseksaan.

"Calon BN, Ramli Mohd Nor, yang pernah memegang jawatan tinggi dalam pasukan polis harus membuat pendirian yang jelas sama ada menyokong hak autonomi yang minimum ini untuk komuniti Orang Asli atau tidak," katanya.

Sementara itu Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dalam satu kenyataan menyebut jawatan tok batin atau penghulu untuk masyarakat terbabit dibuat secara warisan.

"Pelantikan mereka dibuat melalui keturunan dengan tok batin/penghulu yang meninggal dunia hendaklah digantikan oleh anaknya," kata Ketua Pengarah Jakoa, Ajis Sitin.

Selain institusi tok batin kata Ajis sesebuah perkampungan Orang Asli juga diuruskan oleh badan lebih progresf dikenali sebagai Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Orang Asli (MPKKOA).

"Anggota majlis itu dilantik secara undian oleh penduduk tanpa mengira latar belakang politik dengan mematuhi tatacara yang ketat.

"Anggota MPKKOA dipilih secara undian pada setiap dua tahun dan ia menjadi ranting kepada pentadbiran Jakoa di peringkat kampung," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen