Pengiklanan

    Abdul Hamid mengaku cuai, silap fakta

    (Dikemaskini )

    Sehari selepas tampil membuat dakwaan terhadap Sultan Muhammad V dan Dr Mahathir Mohamad, bekas ketua hakim negara Abdul Hamid Mohamed menarik balik kata-katanya.

    Malah beliau mengaku cuai dalam kenyataan yang menyenaraikan kesilapan Sultan Muhammad V semasa baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong.

    Antara lain Abdul Hamid mendakwa Mahathir berkunjung ke Istana Negara untuk mengangkat sumpah sebagai perdana menteri tanpa diundang pada 9 Mei tahun lalu.

    “Dengan rendah diri dan dengan penuh penyesalan, saya memohon maaf kepada YAB Perdana Menteri Tun Dr Mahathir di atas kesilapan itu dan apa-apa persepsi negatif terhadap beliau yang disebabkan oleh kesilapan dan komen itu.

    “Saya juga mengangkat sembah ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong memohon maaf kiranya terdapat apa-apa kesilapan fakta yang melibatkan baginda dalam rencana itu walaupun - setakat ini - belum ada sesiapa yang menunjuknya.

    “Saya juga memohon maaf kepada semua pihak yang telah menyiarkan rencana itu dan kepada semua pembaca di atas kesilapan dan kecuaian saya itu,” kata Abdul Hamid melalui kenyataan yang disiarkan di blognya, hari ini.

    Tak kemukakan alasan

    Semalam, Malaysiakini melaporkan kenyataan Abdul Hamid yang mendakwa Sultan Muhammad V melakukan beberapa kesilapan semasa menduduki takhta, termasuk berhubung pengampunan ke atas Presiden PKR, Anwar Ibrahim.

    Abdul Hamid berkata, adalah satu kesilapan bagi baginda untuk memberitahu Mahathir bahawa baginda bersetuju untuk mengampunkan Anwar.

    Selain itu Abdul Hamid juga menyentuh semasa pemerintahan Sultan Muhammad V sebagai Yang di-Pertuan Agong, baginda sering mengadakan majlis angkat sumpah di luar waktu pejabat.

    Gambar fail

    Kata Abdul Hamid apa yang berlaku selepas pilihan raya umum ke-14 ialah Mahathir pergi ke istana untuk mengangkat sumpah sebagai perdana menteri.

    Dakwanya, tindakan Dr Mahathir itu kerana takut kiranya akan berlaku lompatan parti oleh ahli-ahli parlimen yang baru dipilih itu yang akan menyebabkan PH kehilangan majoriti.

    Sementara itu, Abdul Hamid turut mengambil sepenuh tanggungjawab terhadap kenyataan itu.

    “Saya terima kenyataan itu sepenuhnya. Saya akui bahawa saya telah membuat kesilapan fakta dan juga komen yang berbangkit daripada kesilapan fakta itu dalam penulisan rencana itu.

    “Saya akui ia disebabkan oleh kecuaian saya sendiri dan saya tidak mengemukakan apa-apa alasan (excuse) di atas kesilapan itu. Saya bertanggungjawab penuh,” katanya.

    Tukar kepada versi desktop untuk bacaan lebih baik.

    Tukar sekarang Tidak, terima kasih