malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Bersih: Heret Bob Manolan ke mahkamah jika dia ugut tok batin
Diterbitkan:  Jan 11, 2019 6:48 PM
Dikemaskini: 10:48 AM
ADS

Senator PKR Bob Manolan Mohd harus diheret ke mahkamah mengikut Seksyen 9 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 jika benar dia mengugut sekumpulan tok batin Orang Asli di Cameron Highlands, kata Pengerusi Bersih, Thomas Fann.

"Jika ini dibenar dilakukan oleh senator itu, dia perlu didakwa mengikut Seksyen 9 atas kesalahan pengaruh tidak wajar. Saya harap tok batin atau orang ramai akan membuat laporan polis supaya dia disiasat.

"Pakatan Harapan juga harus menyangkal apa yang dikatakannya dan mengambil tindakan disiplin ke atasnya.

"Mesej yang jelas mesti dihantar supaya pemikiran sedemikian ditolak," katanya kepada Malaysiakini ketika dihubungi hari ini.

Beliau mengulas laporan Malaysiakini hari ini yang memetik senator itu sebagai memberi amaran kepada tok batin bahawa mereka boleh kehilangan jawatan dan gaji jika tidak menyokong kerajaan persekutuan hari ini.

Beberapa tok batin yang berang kemudiannya membidas kenyataan Bob Manolan yang dianggap sebagai cubaan memperlekehkan masyarat Orang Asli.

Sementara itu, Presiden PKR, Anwar Ibrahim berkata tidak ada paksaan dalam demokrasi dan mahu Bob Manolan segera menjelaskan kenyataannya.

Ketua Wanita PKR Haniza Talha pula meragui kebenaran kenyataan itu dan meminta butiran kenyataan yang dibuat Bob disiasat terlebih dahulu.

“Kalau betul dia cakap (begitu), saya tak setuju. Tapi kalau dia cakap macam tu, kena periksa dulu,” katanya kepada pemberita selepas majlis Minum Petang bersama wanita PKR di Hotel De Palma, Ampang, hari ini.

Haniza berkata jika benar-benar Bob Manolan mengeluarkan kenyataan sedemikian maka ia tindakan yang tidak boleh diterima dalam konteks Malaysia Baru.

“Saya tak rasa dia cakap macam tu. Kita tak akan guna taktik ugutan macam tu. Kita adalah kerajaan baru. Kita tak akan buat macam BN,” katanya.

Susulan kenyataan Bob Manolan hari ini, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Azhar Harun menggesa saksi untuk tampil membuat aduan kepada badan berkenaan.

Azhar juga menasihati mereka untuk mengemukakan aduan rasmi kepada SPR bagi membolehkan siasatan dibuat.

Bob Manolan pula dalam satu kenyataan mendakwa ucapannya telah disalahtafsirkan.

Lihat Komen