malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Anwar tegur Bob Manolan
Diterbitkan:  Jan 11, 2019 6:38 PM
Dikemaskini: 11:00 AM
ADS

PRK CAMERON | Presiden PKR Anwar Ibrahim menggesa senator partinya, Bob Manolan untuk segera menjelaskan dakwaan ancaman terhadap tok batin di Cameron Highlands.

"Tiada paksaan dalam demokrasi. Bob perlu menjelaskan kenyataannya segera," katanya di Twitter hari ini.

Beliau mengulas laporan Malaysiakini yang memetik Bob sebagai memberi amaran kepada ketua kampung Orang Asli - atau tok batin - yang mereka boleh kehilangan jawatan dan gaji jika tidak menyokong Pakatan Harapan (PH).

"Batin ini memang dibayar oleh kerajaan pusat, maka itu batin kena sokong Pakatan Harapan. Tak sokong kita buang.

"Mana-mana batin yang tak sokong kerajaan kita tak bayar gaji dia, betul? Jangan bayar gaji dia. Kita bayar gaji dia, dia tak sokong kita, buat apa kita bayar gaji dia," katanya dalam sesi dialog dengan tok-tok Batin di kubu BN di Pos Betau, Jelai pagi ini.

Kenyataan itu segera dibidas beberapa tok batin. Mereka yang turut hadir ke sesi dialog itu antaranya menyifatkan ancaman itu menjatuhkan maruah mereka.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Azhar Harun pula menggesa mana-mana pihak yang menyaksikan Bob membuat ancaman itu tampil untuk membuat laporan.

Menerusi ciapan di Twitter kemudian, Azhar mengingatkan kesalahan pilihan raya juga boleh dilakukan sebelum pilihan raya bermula.

"Ramai ingat boleh buat apa saja sebelum hari pencalonan. Mereka perlu baca undang-undang.

"Banyak tindakan termasuk dalam kesalahan jika dilakukan sebelum, ketika atau selepas pilihan raya," katanya.

Bob: Aspirasi perlu selari

Sementara itu, Bob dalam satu kenyataan menjelaskan ketika itu beliau merujuk kepada tok batin yang mempunyai jawatan dalam Umno.


BacaPenjelasan tentang isu tok batin Cameron Highlands


"Mereka yang menjalankan kegiatan politik dan partisan Umno dan pada masa sama menerima elaun kerajaan persekutuan adalah satu konflik kepentingan," katanya.

Beliau berkata kenyataan itu bagi menjawab soalan peserta berhubung pihak yang membayar gaji atau elaun kepada tok batin.

"Jawapan saya ialah kerajaan persekutuan, oleh itu tok batin yang masih sayang jawatan mereka sebagai ketua cawangan Umno (perlu) letak jawatan sebagai tok batin," katanya.

Katanya lagi, tok batin adalah lantikan kerajaan persekutuan maka mereka perlu sealiran dengan aspirasi dan dasar Pakatan Harapan (PH) selaku parti pemerintah.

Orang Asli membentuk 22 peratus pengundi di kawasan parlimen Cameron Highlands.

Lihat Komen