malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
SPR nasihat saksi 'amaran' pada tok batin buat aduan
ADS

PRK CAMERON | Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Azhar Harun menggesa saksi kenyataan senator PKR yang memberi amaran kepada tok batin dalam kalangan Orang Asli tampil membuat aduan kepada badan berkenaan.

Bercakap kepada Malaysiakini Azhar berkata, beliau menasihati mereka untuk mengemukakan aduan rasmi kepada SPR bagi membolehkan siasatan dibuat.

"Sesiapa yang menyaksikan insiden itu - khususnya memiliki rakaman video kenyataan tersebut - saya nasihatkan mereka membuat aduan.

"Kalau betul kejadian itu berlaku dan ada kenyataan tersebut benar-benar diucapkan, laporan perlu dibuat, sesuai dengan kenyataan media saya sebelum ini," katanya merujuk kepada amaran diberi SPR berhubung kesalahan-kesalahan pilihan raya.

Azhar diminta mengulas laporan Malaysiakini mengenai kenyataan senator Bob Manolan Mohamad di Cameron Highlands.

Kata Bob Manolan, tok-tok batin di Cameron Highlands mungkin kehilangan gaji dan jawatan mereka jika tidak mengundi kerajaan persekutuan pada pilihan raya kecil 26 Jan ini.

Untuk rekod Bob Manolan ialah senator mewakili PKR.

Boleh dihukum penjara

"Batin ini memang dibayar oleh kerajaan pusat, maka itu batin kena sokong Pakatan Harapan. Tak sokong kita buang.

"Mana-mana batin yang tak sokong kerajaan kita tak bayar gaji dia, betul? Jangan bayar gaji dia.

"Kita bayar gaji dia, dia tak sokong kita, buat apa kita bayar gaji dia," katanya.

Bagaimanapun dalam kenyataan balasnya Bob Manolan menjelaskan beliau merujuk kepada peranan tok batin yang tidak seharusnya memegang jawatan dan pada masa yang sama mengambil jawatan di dalam Umno.

Bob Manolan

Katanya tok batin yang menjalankan aktiviti politik dan partisan Umno tetapi pada masa sama menerima elaun daripada kerajaan pusat sebagai Tok Batin merupakan satu percanggahan kepentingan.

Menurut Azhar semua parti politik, calon dan petugas perlu sentiasa ingat peruntukan yang ada dalam Akta Kesalahan Pilihan Raya sepanjang tempoh mereka berkempen.

Antara lain peruntukan tersebut ialah seksyen 9 yang melarang mana-mana orang memberikan pengaruh tidak wajar kepada pengundi.

Jika sabit kesalahan mereka boleh dihukum penjara sehingga dua tahun, dan denda di antara RM1,000 dan RM5,000.

Komuniti Orang Asli membentuk 22 peratus daripada lebih 32,000 pengundi di kawasan Cameron Highlands. Pengundian untuk kerusi tersebut akan diadakan pada 26 Jan ini.

[Baca berita asal]

Lihat Komen