Pengiklanan

    Melaka bercadang sumbang caruman KWSP untuk pemandu teksi

    (Dikemaskini )

    Pemandu teksi berdaftar di Melaka dijangka menerima insentif dalam bentuk caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) daripada kerajaan negeri dalam masa terdekat.

    Exco bagi Kerja Raya, Pengangkutan dan Kemudahan Awam negeri Mohd Sofi Abdul Wahab berkata perkara itu sedang dibincangkan secara terperinci oleh pihak terlibat dan akan dibawa untuk diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri tidak lama lagi.

    “… hasil beberapa siri pertemuan yang dilakukan bersama kumpulan itu sejak Pakatan Harapn mengambil alih pentadbiran negeri, kita lihat antara usaha membela kebajikan mereka ialah melalui caruman KWSP.

    "Caruman KWSP ini akan ditanggung kerajaan negeri kerana kita tahu pendapatan pemandu teksi ini tidak menentu serta mereka terdedah dengan kemalangan. Jadi insentif ini sedikit-sebanyak akan meringankan beban kerana mereka akan dapat pencen," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pemeran Lori Pengangkutan anjuran Pemilik Lori Tipper Dumper dan Simen Mixer Melaka hari ini.

    Mengulas lanjut, beliau berkata setakat ini rekod menunjukkan terdapat kira-kira 1,000 pemandu teksi berdaftar di negeri itu yang bernaung di bawah 16 persatuan teksi.

    Mengulas isu lain, beliau menasihati pemandu kenderaan berat yang menggunakan kawasan Rehat dan Rawat (R&R) di Lebuhraya Utara-Selatan di Melaka meletakkan kenderaan masing-masing di tempat yang disediakan.

    Ini susulan tinjauan operator lebuh raya PLUS Malaysia Berhad yang mendapati rata-rata pemandu kenderaan berat, khususnya lori tidak meletak kenderaan mereka di tempat yang sepatutnya ketika berhenti di kawasan R&R.

    Mohd Sofi berkata perbuatan itu bukan sahaja membahayakan nyawa sendiri tetapi turut mengancam keselamatan pengguna lain.

    Pada masa sama beliau berkata kerajaan negeri sentiasa bersedia membantu golongan itu termasuk menjadi pemudah cara dalam perkara-perkara yang melibatkan pihak berkuasa.

    -- Bernama

    Tukar kepada versi desktop untuk bacaan lebih baik.

    Tukar sekarang Tidak, terima kasih