malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Wang Simpanan warga emas RM120,000 lebur ditipu Macau scam
Diterbitkan:  Jan 11, 2019 3:42 PM
Dikemaskini: 7:42 AM
ADS

Seorang pesara guru berputih mata selepas wang simpanannya sebanyak RM120,000 lebur selepas diperdaya oleh sindiket macau scam yang mendakwa talian telefonnya terlibat dengan aktiviti judi atas talian.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Supt Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, dalam kejadian pada 30 Dis lepas, wanita berusia berusia 84 tahun itu telah menerima panggilan mengatakan talian telefonnya akan ditamatkan dalam tempoh dua jam kerana terlibat dengan aktiviti jenayah itu.

"Perkara itu kemudian dinafikan oleh mangsa sebelum talian disambungkan kepada suspek yang menyamar polis dan memaklumkan satu perintah tahanan reman telah dikeluarkan terhadap mangsa," katanya kepada pemberita di Kuantan hari ini.

Mangsa kemudian disambungkan pula kepada seorang lelaki yang mendakwa dari Bank Negara Malaysia yang kemudian telah memintanya memindahkan kesemua wangnya ke akaun yang diberikan untuk mengelakkan akaunnya daripada dibekukan dan bagi tujuan keselamatan.

Khuatir dengan perkara itu, katanya, mangsa telah melakukan lapan kali transaksi bermula 31 Disember hingga 8 Januari dengan jumlah keseluruhan RM120,000.

Beliau berkata, suspek kemudian masih meminta wang tambahan dan mangsa mula mengesyaki ditipu telah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Temerloh semalam.

Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun, denda dan sebatan jika sabit kesalahan.

-- Bernama

Lihat Komen