malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Kayveas: Saya suka Ramli, dia orang baik
Diterbitkan:  Jan 11, 2019 2:49 PM
Dikemaskini: 6:53 AM
ADS

PRK Cameron | Bekas timbalan menteri, M Kayveas memuji keputusan BN meletakkan Ramli Mohd Noor sebagai calon pilihan raya kecil Cameron Highlands pada 26 Jan.

Pemimpin MyPPP yang dipertikaikan itu berkata, beliau mengenali bekas penolong pesuruhjaya polis itu secara peribadi sejak bekerjasama dengannya di kawasan parlimen itu empat tahun lalu.

Beliau menyifatkan Ramli, yang merupakan pegawai polis dari kalangan Orang Asli yang pernah mencapai pangkat tertinggi dalam sejarah negara, sebagai orang yang banyak membantu.

Kayveas, yang turut bertanding kerusi itu, berkata pemilihan Ramli juga dijangka mampu menarik sokongan masyarakat Orang Asli dan pengundi Melayu.

"Ia adalah pilihan strategik yang tepat dan berbeza oleh BN. Jadi, sudah tentu apabila mereka tidak meletakkan calon India (dari MIC), mungkin terdapat beberapa undi India yang hilang (dari BN), tetapi peratusan kecil kaum India di sana iaitu 16 peratus.

"Berbanding Orang Asli dan Melayu, mereka adalah masyarakat terbesar di sana. Yang kedua terbesar ialah orang Cina.

"Ia adalah strategi yang baik. Ramli seorang yang baik,  sangat baik. Saya suka dia," katanya kepada Malaysiakini.

Ditanya sekiranya pemilihan Ramli akan menjejaskan peluangnya dalam pilihan raya kecil (PRK) itu, Kayveas mengakui pertandingan tersebut adalah antara Pakatan Harapan (PH) dan BN.

Beliau berkata ini kerana kedua-dua memiliki kuasa iaitu PH menguasai kerajaan persekutuan, manakala BN menguasai kerajaan negeri Pahang.

Kayveas berkata beliau membuat keputusan bertanding di kerusi Cameron Highlands setelah melobi bertahun-tahun untuk menjadi calon BN tetapi tidak berjaya.

Bekas anggota Parlimen Taiping itu juga mendakwa telah bekerja keras di Cameron Highlands dan pengundi juga yakin beliau akan menjadi calon BN pada pilihan raya umum lepas.

BN sebaliknya meletakkan naib presiden MIC , C Sivarraajh. 

Bagaimanapun, Mahkamah Pilihan Raya membatalkan kemenangan BN selepas mendapati terdapat unsur rasuah, dan ini mengakibatkan pilihan raya kecil diadakan semula.

Disebabkan MyPPP kini telah meninggalkan BN, Kayveas berkata adalah wajar beliau bertanding kerusi berkenaan memandangkan BN tidak lagi boleh menghalangnya berbuat berbuat demikian.

PH akan meletakkan M Manoragan DAP yang tewas kepada Sivarraajh pada pilihan raya umum lepas dengan majoriti kurang 600 undi.

Bekas parti komponen BN, Gerakan dijangka meletakkan timbalan ketua bahagian Cameron Highlands Dr Eddie Edward Tharmaraj sebagai calon.

Lihat Komen