Pengiklanan

    Allahyarham sesak nafas, muntah - isteri Bakhtiar

    (Dikemaskini )

    Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Semenyih Allahyarham Bakhtiar Mohd Nor yang meninggal dunia awal pagi tadi akibat serangan jantung, turut menghidap penyakit kencing manis dan darah tinggi.

    Isteri Allahyarham, Basirah Sardiq Muhammad, 49, berkata suaminya turut mengalami komplikasi buah pinggang sejak dua tahun lalu.

    Menceritakan detik-detik akhir bersama suaminya, Basirah berkata suaminya terjaga daripada tidur dan mengadu mengalami sesak nafas pada kira-kira pukul 3 pagi tadi, sejam selepas pulang daripada mengikuti aktiviti di surau berdekatan.

    “Pukul 3 lebih dia bangun pergi bilik air dan muntah, Yang Berhormat (YB) cakap dia sesak nafas, dia tak boleh bernafas dan suruh kejutkan anak lelaki hantar ke hospital,” katanya.

    Basirah berkata setibanya di Hospital Kajang keadaan Allahyarham bertambah lemah dan doktor yang merawatnya turut memberikan bantuan pernafasan sebelum disahkan meninggal dunia pada pukul 4.45 pagi.

    Beliau yang tidak dapat mengawal perasaan menyifatkan suaminya itu seorang yang sangat penyayang dan baik.

    “YB seorang yang baik, baik sangat-sangat… YB seorang yang sangat penyayang, YB baru dapat cucu sulung,” katanya.

    Sementara itu, Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Azmin Ali yang turut menziarahi jenazah mengucapkan takziah atas pemergian Allahyarham yang disifatkannya sebagai satu kehilangan besar kepada negara.

    Setiausaha Politik kepada perdana menteri, Abu Bakar Yahya turut hadir menziarahi jenazah serta menyampaikan sumbangan kepada keluarga Allahyarham.

    “Saya hadir ke sini mewakili Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menyampaikan ucapan takziah dan sedikit sumbangan bagi memudahkan urusan keluarga,” katanya.

    Turut menziarahi jenazah ialah Menteri Besar Selangor Amirudin Shari dan beberapa exco kerajaan negeri. Allahyarham meninggalkan dua anak perempuan dan tiga anak lelaki berumur antara 9 hingga 29 tahun.

    Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Pasir selepas solat Jumaat.

    - Bernama

    Tukar kepada versi desktop untuk bacaan lebih baik.

    Tukar sekarang Tidak, terima kasih