malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
UKM cipta alat lebih kecil, murah pantau kualiti udara
ADS

Dalam menangani perubahan iklim, Unversiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah melakukan inovasi dengan mencipta aplikasi deria penilai udara diberi nama AiRBOX Sense, kata Ketua Pusat Perubahan Iklim Tropika, Dr Mohd Shahrul Mohd Nadzir.

Menurutnya, beliau bersama seorang pelajar PhD dari Indonesia, telah berjaya menghasilkan peralatan saintifik itu yang lebih kecil dan murah bagi memantau kualiti udara.

“Teknologi ini kita panggil ‘Low-cost air quality sensor’. Ia suatu sensor udara yang bercirikan teknologi hijau. Pada masa depan, kami harap teknologi ini digunapakai dalam ‘smart cities’ bagi memantau tahap kualiti udara di kawasan-kawasan yang membangun.

“Jadi, saya bangga dengan inovasi kami yang hampir kesemuanya kami hasilkan di UKM sendiri," katanya kepada Malaysiakini pada wawancara baru-baru ini.

Menjelaskan alatan berkenaan, Mohd Shahrul, 35 berkata ia akan bertukar warna apabila mengesan kualiti udara yang kurang baik di sesuatu kawasan.

Tambahnya, produk ini dihasilkan secara berkumpulan dan mendapat sokongan daripada Fakulti Sains dan Teknologi UKM termasuk dari kumpulan Sains Atmosfera UKM, Institut Perubahan Iklim UKM dan Fakulti Sains Teknologi UKM.

“Begitu juga Dr Sawal Hamid Md Ali (pensyarah Jabatan Kejuruteraan Elektrik, Elektronik dan Sistem) dan Prof Mohd Talib Latif (Timbalan Dekan Pasca Siswazah Fakulti Sains dan Teknologi UKM) yang membantu dalam inovasi ini,” katanya yang menambah turut mendapat sokongan Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina universiti itu.

Dr Mohd Shahrul turut memaklumkan UKM pada masa ini sedang berusaha menerapkan konsep kampus hijau (green campus) yang dijalankan Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina UKM.

Sensor penilaian udara itu juga katanya akan digunakan dalam kawasan kampus bagi menggalakkan pelajar menggunakan basikal elektrik yang tidak mencemarkan alam sekitar.

“Kalau satu hari nanti UKM boleh ada satu perkhidmatan basikal elektrik, kita nak tengok bagaimana ia boleh mengurangkan karbon di dalam kampus itu sendiri,” katanya.

Mengulas mengenai perkembangan semasa, penyelesaian teknologi dan dasar kerajaan dalam menangani perubahan iklim, Dr Mohd Shahrul berkata dunia pada masa ini dalam proses peralihan ke arah yang lebih baik.

Katanya, banyak negara dan organisasi di seluruh dunia membantu ke arah melestarikan alam sekitar seperti penggunaan kereta hibrid.

“Jadi sekarang ini, sebenarnya semua orang nak selamatkan dunia. Semua orang nak kurangkan pencemaran. Semua orang nak menghindari kesan perubahan iklim,” katanya lagi.

BACA:

Wawancara ini dikendalikan Rahmat Haron dan Suzilawani Mustapha di pejabat Malaysiakini.


Lihat Komen