malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Batal kewarganegaraan kerana raja cadangan melampau
ADS

ULASAN | Semalam Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, menemui Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, di Johor Baru.

Laporan media massa, antara lain, mengatakan yang mereka bersetuju berterus terang antara satu sama lain dan akan berjumpa lagi jika ada isu yang hendak dibincangkan.

Baguslah. Pertemuan kali ini adalah atas kehendak Sultan.

Maka dalam semangat yang sama, saya rasa kita pun hendaklah berterus terang juga antara satu sama lain.

Kalau raja-raja boleh berterus terang dan berbaik sangka dengan perdana menteri, masakan kita sesama rakyat jelata tidak boleh berterus terang, terbuka dan bertolak ansur.

Baru-baru ini ada pihak yang dilaporkan menggesa agar kerakyatan orang yang dituduh menghina raja-raja dilucutkan.

Kalau silap sikit kita lucutkan kewarganegaraan, akhirnya tidak banyaklah warganegara kita yang tinggal. Lagipun, rasanya bukanlah mudah untuk melucutkan kewarganegaraan seseorang.

Kita bukan negara diktator atau negara raja berkuasa mutlak yang boleh lucut kewarganegaraan atau campak seseorang ke dalam laut dengan sesuka hati.

Sebagai negara raja berperlembagaan, kita hanya dibenarkan bertindak mengikut undang-undang dan Perlembagaan.

Jadi apabila kita membuat cadangan janganlah keterlaluan atau bercanggah dengan perlembagaan sehingga kita nampak tidak cerdik dan anti-demokrasi.

Kedaulatan Undang-undang

Kita ada undang-undang yang membolehkan tindakan diambil terhadap mana-mana pihak yang terbukti menghina institusi raja atau mana-mana juga institusi negara seperti Parlimen, mahkamah hatta menghina rakyat biasa sekali pun.

Saya pun sudah sekali disoal siasat oleh polis kerana laporan menuduh saya menghina dan mengancam Yang di-Pertuan Agong dan akan disoal siasat sekali lagi sebab ada laporan daripada ketua-ketua Umno dan PKR Kedah atas tulisan saya mengenai pertabalan sultan negeri itu.

Apa-apa pun kita hendaklah selalu beringat bahawa tindak-tanduk menjadikan institusi raja sebagai eksklusif dan tidak boleh disentuh itulah antara punca banyak kerajaan beraja di dunia akhirnya dihapuskan.

Institusi raja sebagai sebahagian daripada ciptaan manusia tentulah tidak lengkap. Raja tidak maksum. Kalau kita berpegang kepada ajaran al-Quran, kita tahu yang tidak seorang pun daripada kita terlepas daripada melakukan kesalahan.

Oleh yang demikian kita perlu saling menegur dan memberi peringatan. Hanya Rasullah maksum.

Misalnya kalau kita tahu ada tauke cuba rasuah raja kita atau ada orang yang pergi merata tempat cari tanah kerajaan kononnya bagi pihak raja, isteri raja dan anak raja kita kena bersuara.

Saya baru saja bagi tahu seorang menteri besar Pakatan Harapan (PH) mengenai dakwaan bahawa seorang tauke Cina sedang mencari tanah kerajaan di sebuah pulau kononnya bagi pihak anak seorang sultan.

Dan saya bagi tahu seorang sahabat wartawan yang mewakili sebuah syarikat hartanah China iaitu kalau di China mereka buang maharaja, apabila mereka buat bisnes di Malaysia mereka wajib hormat raja-raja kita. Mereka jangan buat kerja yang merendahkan daulat Raja-raja kita.

Eloklah kita semua selalu beringat bahawa dalam zaman Internet dan media sosial ini dinding ada telinga dan siling ada mata.

Syukur alhamdulillah bukan semua orang tidak baik. Sebaliknya banyak orang kita yang baik.

Kita ambil iktibar daripada cerita pengorbanan dan keberanian dua orang kakitangan awam wanita yang mengambil risiko besar menyimpan laporan asal Ketua Audit Negara mengenai 1MDB walaupun diarahkan untuk memusnahkannya.

Hasil tindakan berani mereka itu kini kita tahu bahawa laporan yang dibentangkan di parlimen telah dipinda atas arahan Datuk Seri Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sanrobone Mohd Najib Abdul Razak ketika menjadi perdana menteri.

Adalah kesilapan besar bagi para pembesar kita, termasuk Raja-raja, menganggap bahawa rakyat jelata tidak tahu apa yang berlaku pada musim panas yang lalu!

Kaji sejarah

Kepada pihak-pihak yang mahu kewarganegaraan rakyat Malaysia ditarik balik kerana kononnya menghina raja, saya sarankan mereka belajar daripada sejarah kalau mereka tidak mahu menjadi “penyokong yang membawa rebah”.

Mereka boleh mulakan dengan mengkaji sejarah kerajaan-kerajaan beraja di dunia supaya mereka faham dari mana kita datang, di mana kita berada dan ke mana arah tujuan kita.

Ada ahli sejarah mengatakan bahawa kerajaan beraja di negara kita adalah antara yang tertua di dunia.

Hal itu boleh dibahaskan, tetapi buat masa ini memadailah kalau saya katakan bahawa Malaysia adalah negara yang mempunyai paling ramai raja berbanding bilangan penduduk, keluasan wilayah dan kekayaan ekonomi.

Jadi mungkin benarlah hujah yang mengatakan bahawa Malaysia adalah antara negara beraja tertua di dunia.

Kesultanan Melayu Indonesia tinggal adat sahaja

Ahli sejarah dan pengkaji politik sering mengambil Perang Dunia Kedua sebagai titik pemisah antara era lama dengan era baru.

Era baru sering dirujuk kepada era pasca-penjajahan apabila tanah jajahan negara-negara beraja Eropah mula mendapat kemerdekaan.

Sebelum Perang Dunia Kedua ada beratus-ratus negara dan negeri yang diperintah oleh raja.

Ambil contoh India. Ketika British mula mengundurkan diri, terdapat 565 negeri beraja yang diiktiraf secara rasmi tetapi selepas merdeka semuanya dihapuskan.

Di Indonesia sejarahnya lebih kejam. Banyak raja Islam dan ahli keluarga mereka dibunuh atau terbunuh ketika revolusi nasionalis pimpinan Sukarno.

Hari ini hanya tinggal satu atau dua sahaja kesultanan Indonesia yang masih mendapat pengiktirafan rasmi. Itu pun mereka berfungsi sebagai institusi adat sahaja.

Di dunia sekarang terdapat 29 raja moden yang memerintah kira-kira 40 buah negara, termasuk Ratu Inggeris yang dianggap raja di banyak negara Komanwel.

Di Malaysia kita ada sembilan raja yang memilih salah seorang daripada mereka menjadi Yang di-Pertuan Agong selama lima tahun mengikut giliran.

“..Rahmat bahagia

Tuhan kurniakan

Raja kita

Selamat bertakhta.”


A KADIR JASIN bekas ketua pengarang Kumpulan New Straits Times Press (M) Bhd. Beliau kini bergiat dalam Bersatu sebagai pimpinan pusat parti itu.

Rencana ini asalnya dimuat naik di blog beliau." Tulisan ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi redaksi Malaysiakini.

Lihat Komen