Pengiklanan

    Adun Semenyih meninggal dunia

    (Dikemaskini )
    Berita

    ADUN Semenyih, Mohd Bakhtiar Mohd Nor meninggal dunia awal pagi tadi, di percayai akibat serangan jantung.

    Perkara itu disahkan oleh setiausaha politik Menteri Besar Selangor, Borhan Aman Shah dalam satu kenyataan pagi ini.

    Borhan berkata Mohd Bakhtiar, 57 yang juga wakil rakyat dari Parti Pribumi Bersatu (BERSATU) menghembuskan nafas terakhir di Hospital Kajang kira-kira jam 4.45 pagi.

    "Jenazah Allahyarham akan dibawa pulang ke rumah keluarga beralamat di Bt 19, Jalan Sungai Lalang, Kolam Memancing Teratak Tekala, Semenyih dan akan disembahyangkan sejurus selepas solat Jumaat di Masjid Kampung Pasir, Semenyih.

    "Jenazah kemudian akan disemadikan di Tanah Perkuburan Kampung Pasir.

    "Ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Tuan Mohd Bakhtiar bin Mohd Nor. Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat Allah swt dan ditempatkan di kalangan golongan yang soleh," katanya.

    MB ucap takziah

    Sementara itu Menteri Besar Selangor Amirudin Shari mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Mohd Bakhtiar.

    Beliau menyifatkan Allahyarham sebagai seorang wakil rakyat yang prihatin dan giat dalam memperjuangkan nasib penduduk kawasan Semenyih.

    "Semasa hayatnya, Allahyarham sering meluangkan masa berbincang dengan saya dan ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri mengenai inisiatif bagi penduduk kawasan Semenyih.

    "Di peringkat Dewan Negeri Selangor, Allahyarham merupakan anggota Jawatankuasa Pilihan Pihak Berkuasa Tempatan (JP-PBT)," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

    Katanya, selaku Ketua Bahagian Bersatu Hulu Langat, Allahyarham Mohd Bakhtiar juga memainkan peranan penting dalam Pakatan Harapan Selangor.

    "Saya ingin merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Tuan Bakhtiar Mohd Nor atas pemergian ini.

    "Saya mendoakan semoga ahli keluarga Allahyarham diberi kekuatan untuk mengharungi ujian yang amat berat ini. Semoga roh Allahyarham ditempatkan di kalangan golongan yang soleh, dicucuri rahmat Allah swt serta dikurniakan husnul khatimah," katanya. 

    Pada pilihan raya umum ke-14 Mei lalu, Mohd Bakhtiar memenangi kerusi DUN Semenyih dengan mengalahkan tiga calon lain.

    Beliau mendapat 23,428 undi mengatasi calon Umno, Johan Abd Aziz (14,464 undi), calon PAS, Mad Shahmidur Mat Kosim (6,966 undi) dan calan PSM, S Arutchelvan (1,293 undi).

    Tukar kepada versi desktop untuk bacaan lebih baik.

    Tukar sekarang Tidak, terima kasih