malaysiakini logo
story-image
ADS

WAWANCARA | Bekas menteri Tajuddin Abdul Rahman memberi bayangan mengenai watak yang didakwanya menggerakkan inisiatif supaya Presiden Umno Dr Ahmad Zahid Hamidi berundur dari jawatan berkenaan.

Menurut anggota Majlis Tertinggi Umno itu ia didalangi segelintir pemimpin parti yang kecewa kerana parti itu kalah dalam PRU ke-14 dan kumpulannya pula gagal mendapat tempat dalam pemilihan parti selepas itu.

Tajuddin yang turut menawarkan diri menjadi naib presiden Umno dalam pemilihan tersebut bagaimanapun memberitahu Malaysiakini, gerakan tersebut berasal dari Johor tetapi tidak serius malah bukan datang dari akar umbi.

Malah katanya ia tidak menggambarkan kehendak keseluruhan kepemimpinan Umno negeri terbabit.

"Ada beberapa orang yang terbawa-bawa dengan kekalahan calon mereka, calon yang mereka bawa pada pemilihan presiden.

"Mereka mungkin penyokong Ku Li (Tengku Razaleigh Hamzah) dan penyokong Khairy Jamaluddin," katanya dalam temu bual di Kuala Lumpur.

Ahmad Zahid ialah bekas timbalan perdana menteri yang dimahukan majoriti bahagian Umno untuk memimpin parti itu selepas mereka dinafikan mandat daripada terus menjadi kerajaan.

Tak mungkin semua sokong

Anggota parlimen Bagan Datuk itu diumum pemenang jawatan presiden Umno pada 30 Julai tahun lalu.

Beliau menggantikan Najib yang melepaskan jawatan presiden Umno ekoran kekalahan mereka kepada Pakatan Harapan pada 9 Mei 2018.

Bagaimanapun wujud kritikan ke atas Ahmad Zahid termasuk dalam kalangan pemimpin kanan parti. Antara lain disebabkan pendekatan beliau berbaik-baik dengan PAS.

Tajuddin sendiri menjadi salah satu watak penting untuk membina jambatan menghubungkan kedua-dua parti.

Kemuncak rasa tidak puas hati itu ialah apabila sejumlah wakil rakyat Umno mengumumkan langkah meninggalkan parti terbabit hujung tahun lalu.

Akhirnya Ahmad Zahid mengalah dengan bercuti dan menyerahkan tugas presiden kepada timbalannya Mohamad Hasan.

Tajuddin berkata di seluruh negara Umno memiliki 191 bahagian dan tidak mungkin Ahmad Zahid mendapat sokongan padu daripada semua mereka.

"Jadi, cubaan untuk singkirkan Ahmad Zahid oleh segelintir pihak itu tidak serius, tiada ada (melibatkan) akar umbi, cawangan mahupun bahagian mendesak presiden berundur.

"Kita dapati juga tidak ada usul atau mesyuarat tergempar dipanggil bagi tujuan itu," katanya.

Berdasarkan perkembangan yang berlaku, difahamkan gerakan mahu menyingkirkan Ahmad Zahid itu digerakkan seorang daripada tiga naib presiden Umno.

Tokoh berkenaan sebelum ini dikatakan pernah memegang jawatan menteri besar dan menteri kabinet.

Bagaimanapun Tajuddin tidak menyentuh mengenai butiran itu semasa ditemui Malaysiakini.

Dalam pada itu ketika ditanya mengenai kedudukan ketua pembangkang di Dewan Rakyat, Tajuddin berkata, tiada sebarang isu timbul walaupun Ahmad Zahid berehat.

Sehingga kini kata bekas timbalan menteri pertanian dan industri asas tani itu, Ahmad Zahid masih dianggap ketua pembangkang.

"Walaupun di peringkat parti Zahid memberi kepercayaan kepada Mohamad tapi beliau bukannya melepaskan jawatan ketua pembangkang," katanya.

Lihat Komen