malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Pakaian dari perspektif urusan agama dan kehendak budaya
ADS

ULASAN | Baru-baru ini, Menteri Besar Kelantan, Ahmad Yakob mengingatkan agar kakitangan awam wanita – muslimah – terutama yang berkhidmat di Kompleks Kota Darul Naim, Kota Bharu supaya tidak berpakaian ketat, berwangi-wangian dan berhiasan melampaui batas.

Menurut beliau lagi, pematuhan kepada aspek pemakaian yang selari dengan garis panduan Islam adalah sebahagian daripada ciri-ciri profesionalisme atau ‘ihtirafi’ yang menekankan kepada akhlak dan integriti.

Apa yang dibangkitkan oleh Menteri Besar Kelantan ini, mungkin tidak janggal dalam kalangan muslim. Namun, mungkin agak ganjil bagi kalangan warga non-muslim – bukan sekadar di Malaysia, malah di mana-mana sekalipun.

Sudah terkenal kalimah “aurat” dalam sebutan Melayu. Kalimah aurat itu asalnya dari bahasa Arab. Dalam Lisan al-Arab, al-Imam Ibn Manzur menyatakan bahawa maksud bagi aurat adalah setiap perkara yang mendatangkan malu apabila ia terpamer.

Sebarang perbuatan, perkataan dan perkara yang melahirkan hilang sifat terhormat atau mendatangkan aib, maka ia dianggap sebagai aurat.

Difahami di sini bahawa pemaknaan bagi aurat adalah berfaktorkan aib dan terhormat. Dengan sebab itu, terdapat perbincangan dalam kalangan ilmuwan muslim berkenaan pemakaian terhadap lelaki dan perempuan, iaitu melibatkan beberapa anggota badan manusia yang tidak boleh dipamerkan dan dibuka kepada orang lain.

Tuntutan agama atau kehendak budaya?

Dalam perbincangan berkenaan aurat ini terdapat perdebatan dalam kalangan ilmuwan Islam – ia dilihat dalam dua kerangka besar, iaitu ketika dalam solat dan ketika di luar solat.

Aurat dalam kerangka semasa menunaikan solat, menutup aurat dianggap sebagai tuntutan agama. Tetapi, ilmuwan Islam berbeza pendapat dalam perbincangan aurat di luar dari solat – apakah ia tuntutan agama, atau ia sekadar kehendak budaya masyarakat sesuatu tempat sahaja?

Andai ia sekadar kehendak budaya masyarakat sesuatu tempat, bermakna (sebagai contoh) jika di sesuatu masyarakat melihat memakai seluar pendek itu adalah mengaibkan, maka agama melarang berseluar pendek.

Jika dalam sesuatu masyarakat yang lain melihat memakai seluar pendek itu bukan sesuatu yang mengaibkan, maka agama tidak melarang berseluar pendek dalam masyarakat tersebut.

Bagi pendapat yang melihat ia sebagai tuntutan agama secara mutlak pula, mereka berpendapat bahawa dalam situasi masyarakat macam mana pun, mereka tetap tidak dibenarkan memakai seluar pendek.

Dalam kalangan ilmuwan Islam, terdapat perbincangan berkenaan sesuatu kandungan al-Quran dan Hadis, mereka melihat kepada dua bentuk:

Pendapat pertama, semua ayat al-Quran dan Hadis itu bersifat tuntutan keagamaan.

Pendapat kedua, tidak semua ayat al-Quran itu bersifat keagamaan. Terdapat juga beberapa ayat al-Quran atau Hadis yang kandungannya ada kaitan dengan tuntutan konteks sesuatu masyarakat sahaja.

Pada pendapat kedua, hukumnya boleh berubah berdasarkan perbezaan konteks sesuatu tempat, sesuatu masa dan keadaan yang lain.

Pendapat kedua ini beranggapan sebegini dengan beberapa hujah. Antaranya melihat kepada kewajipan perang yang termaktub dalam banyak ayat al-Quran.

Walaupun ada suruhan berperang, tetapi dalam konteks tertentu, perang tidak dibolehkan. Apatah lagi, ayat al-Quran yang menyuruh perang itu diturunkan ketika kerajaan Madinah diserang musuh.

Lantas, untuk mempertahankan kerajaan, maka ayat tersebut diturunkan – menyuruh Nabi dan para sahabat berperang.

Justeru itu, suruhan berperang tidak boleh – malah haram – dilaksanakan di negara yang aman seperti Malaysia. Apatah lagi, Malaysia tidak diserang musuh, yang mana perlu dipertahankan dengan persenjataan atau peperangan.

Perubahan konteks

Hujah yang kedua pula, merujuk kepada ayat al-Quran yang menyatakan keizinan bersetubuh dengan hamba. Jika difikirkan sekali, andai dibenarkan bersetubuh dengan hamba, sudah pasti kewujudan sistem hamba juga dibenarkan.

Namun begitu, antara ciri utama bagi Islam adalah menghapuskan perhambaan. Dan turun ayat al-Quran yang menyebut berkenaan hamba pun – ia sebagai respon terhadap sistem perhambaan yang masih wujud.

Tetapi, selepas perhambaan berakhir, sistem itu sudah tidak dibenarkan lagi untuk diwujudkan. Makanya, dengan perubahan konteks, mewujudkan hamba tidak lagi dibenarkan.

Hujah ketiga – dari Hadis pula, diceritakan bahawa Nabi pergi ke al-Muhassab (nama tempat antara Mekah dengan Mina yang dikenali juga sebagai al-Abtah).

Walaupun ia dilakukan oleh Nabi, tetapi para sahabat berbeza pendapat – apakah ke Muhassab selepas buat ibadat Haji itu sebagai perkara keagamaan, atau sebagai adat kebiasaan Nabi saw sahaja.

Isteri Nabi iaitu Aisyah menjelaskan itu bukan amalan keagamaan, tetapi sekadar keselesaan Nabi apabila mahu keluar dari Mekah.

Dari tiga isu – peperangan, perhambaan dan Nabi pulang dari Haji – ini membuktikan bahawa bukan semua kandungan wahyu itu bersifat keagamaan. Malahan, jika melaksanakan juga kandungan wahyu itu tanpa melihat pada konteksnya, ia boleh dianggap bercanggah dengan tujuan agama pula.

Apabila bukan semua nas wahyu itu bersifat keagamaan, maka tidak hairan jikalau terdapat beberapa pandangan yang menyatakan bahawa sesuatu kandungan nas itu ada kaitan dengan adat, resam dan kebudayaan.

Hujah mereka berasaskan kepada banyak Hadis yang menampilkan bahawa Nabi saw memakai serban, memakai kopiah, makan daging kambing, memanjangkan rambut, memakai selendang Arab (rida’) dan sebagainya — yang semua itu bukan bersifat keagamaan atau pensyariatan, tetapi sekadar kebudayaan sahaja – yang selaras dengan masyarakat Arab.

Memandangkan Nabi berasal dari bangsa Arab, sudah pasti baginda melakukan perkara-perkara tersebut. Dalam perbincangan usul al-Fiqh, ia dikenali sebagai Sunnah Jibiliyyah – sesuatu amalan yang dilakukan oleh Nabi, kerana baginda adalah manusia yang terikat dengan faktor budaya sesuatu masyarakat.

Dari perbahasan ini, dapat disimpulkan bahawa perkara yang termaktub dalam nas al-Quran dan Hadis, tidak semua bersifat keagamaan. Kadangkala terdapat beberapa kandungan al-Quran dan Hadis itu bersifat budaya dan adat sesuatu tempat sahaja – khususnya budaya masyarakat Arab.

Perkara ini pernah dibahaskan oleh Tahir Ibn Asyur dalam kitab Maqasid al-Syariah al-Islamiyyah dan Dr Jaseer Auda dalam dua buku beliau – Maqasid al-Syariah Ka Falsafah li al-Tasyri’ al-Islami dan Maqasid al-Syariah Dalil li al-Mubtadi.

Demikian juga dalam isu yang melibatkan pakaian. Atas asas itulah, terdapat perbezaan pendapat dari kalangan ilmuwan dan pemikir muslim ketika membincangkan hal berkenaan pakaian, apakah ia bersifat keagamaan secara mutlak, ataupun ia dalam lingkungan kebudayaan sesuatu masyarakat?

Pakaian lelaki

Secara dasarnya, ketika menunaikan solat, wajib bagi kaum lelaki memakai pakaian yang menutup aurat, iaitu sekurang-kurangnya menutup anggota yang berada antara pusat dan lutut.

Dengan kata lain, bagi kaum lelaki yang menunaikan solat, mereka disuruh memakai sebarang pakaian yang boleh memastikan pusat, kemaluan, punggung, paha dan lutut; semua ini perlu tertutup dan tidak boleh dilihat oleh mata manusia.

Pendapat mereka ini berasaskan beberapa Hadis. Antaranya Nabi saw pernah berpesan kepada Saidina Ali agar beliau tidak membuka paha beliau dari dilihat manusia.

Malah Nabi turut melarang dari melihat paha orang yang hidup dan orang yang sudah mati (kecuali ada keperluan sahaja). Begitu juga, Hadis mengisahkan bahawa satu hari Nabi melintasi di suatu kawasan.

Di situ ada seorang sahabat bernama Ma’mar yang ketika itu kedua-dua pahanya terdedah. Nabi terus menegur dengan menyuruh dia menutupnya dan berkata bahawa kedua-dua pahanya itu adalah aurat.

Walau bagaimanapun, ada kalangan ilmuwan Islam yang lain – seperti Ahmad, Daud dan Ibn Jarir – berpendapat bahawa lutut, paha dan pusat, andai terbuka, solat masih sah lagi. Yang penting, menutup kemaluan dan punggung. Selain itu, “ditutup” itu sekadar galakan sahaja.

Pendapat ini berasaskan kepada beberapa Hadis – antaranya Anas bin Malik mengisahkan bahawa dalam satu permusafiran ke Khaibar, dua lutut Anas bersentuhan dengan paha Nabi saw.

Ketika itu Nabi menyinsing kain sehingga kelihatan putih paha Nabi. Andai bersentuhan, sudah pasti paha itu terdedah. Dengan kata lain, terdedah paha itu bukan larangan.

Begitu juga dengan Hadis – Aisyah mengisahkan bahawa Nabi saw sedang berbaring di rumah dalam keadaan dua paha Nabi (atau: dua betis) yang kainnya terselak.

Abu Bakar datang dan meminta izin masuk. Nabi mengizinkan tanpa Nabi menutup paha Baginda. Demikian juga kemudiannya datang Omar, Nabi saw tetap kekal dengan keadaan begitu. Hadis ini dijadikan sandaran bukti oleh mereka yang berpendapat bahawa paha tidak wajib ditutup.

Kedua-dua pendapat ini masih dalam lingkungan pakaian di dalam solat. Adapun pakaian di luar solat pula, hampir semua ulama Islam terdahulu menganggap bahawa wajib bagi kaum lelaki menutup anggota yang berada antara pusat hingga lutut. Pada mereka, ia adalah tuntutan agama.

Pun begitu, beberapa pendapat ulama kontemporari beranggapan bahawa pakaian di luar solat bersifat kontekstual – melihat kepada penafsiran aib dan tidak terhormat itu berdasarkan budaya dan kebiasaan sesuatu masyarakat.

Dengan sebab itu, tidak sedikit ilmuwan dan pemikir Islam yang tidak menghalang lelaki memakai seluar pendek semasa bermain bola sepak.

Pakaian wanita

Berkenaan aurat wanita, terdapat perbincangan besar dalam kalangan ilmuwan dan pemikir Islam dunia. Perdebatannya berkisar kepada beberapa tajuk – seperti kewajipan memakai tudung, tidak memakai pakaian ketat, berhias, bersolek, berwangi-wangian dan sebagainya.

Secara dasarnya, semua perdebatan ini bermula dengan ayat al-Quran yang melarang muslim mendekati zina13 dan suruhan agar merendahkan pandangan dan menjaga kemaluan (dari berzina).

Dari dasar ini, para ilmuwan muslim menyimpulkan bahawa sebarang perlakuan wanita yang boleh menarik minat syahwat lelaki, samada berbentuk dengar, melihat dan bauan, maka ia dianggap sebagai dilarang.

Kesimpulan sebegini dibuat bukan kerana teks wahyu, tetapi masih dalam lingkungan pandangan dan penelitian ilmuwan muslim. Walaupun mereka mempunyai sandaran dari al-Quran dan Hadis, tetapi ia masih dalam lingkungan penafsiran.

Contohnya perdebatan kewajipan memakai tudung bagi wanita. Hampir semua ulama muslim berpendapat, memakai tudung dengan maksud menutup rambut itu adalah tuntutan agama.

Mereka turut mengatakan bahawa aurat wanita adalah seluruh badan mereka kecuali muka dan tangan. Pada mereka, suruhan menutup aurat itu adalah tuntutan keagamaan.

Pendapat mereka sebegitu kerana merujuk kepada beberapa sumber wahyu seperti berikut:

Pertama, al-Quran menyuruh agar Nabi memberitahu para isteri dan anak-anak perempuan baginda agar melabuhkan pakaian mereka bagi menutup tubuh mereka.

Kedua, dalam ayat yang lain, Allah suruh agar diberitahu kepada wanita muslim supaya tundukkan pandangan dan memelihara kehormatan mereka; dilarang mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir sahaja (ditafsirkan ulama muka dan tangan); mereka perlu menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; mereka dilarang memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan.

Mereka juga dilarang dari menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka.

Dari dua ayat ini, mereka berhujah bahawa al-Quran bukan sekadar menyuruh mereka menutup badan dari dilihat oleh kaum lelaki (yang bukan dari ahli keluarga mereka), malahan mereka turut dihalang dari melakukan sebarang tindakan yang boleh menarik perhatian kaum lelaki seperti menghentak kaki yang memakai loceng.

Pada mereka, kedua-dua suruhan dari ayat ini bersifat keagamaan.

Antara hamba dan wanita merdeka

Dalam pada itu, terdapat sebilangan ilmuwan dan pemikir muslim yang berpandangan berbeza dengan pendapat ini.

Mereka menganggap, suruhan memakai tudung dan larangan menghentak kaki yang memakai loceng; dua ayat Al-Quran itu bukan bersifat keagamaan, tetapi sekadar kebudayaan masyarakat Arab yang mana cara itu dapat menarik perhatian kaum lelaki sehingga boleh membawa kepada penzinaan.

Antara ilmuwan muslim yang beranggapan sebegini adalah Dr Adnan Ibrahim dari Palestine, Dr Mahmud Shahrur dari Syria dan Dr Quraish Shihab dari Indonesia.

Pendapat mereka ini berasaskan kepada beberapa hujah:

Pertama, ayat ini dikhususkan kepada kaum wanita yang merdeka sahaja. Mereka simpulkan begitu kerana melihat pada sambungan ayat al-Quran yang menyebut, “Hendaklah mereka melabuhkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka. Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenal, kerana itu mereka tidak diganggu20 ”.

Dalam komentar mereka, ayat ini menjelaskan bahawa suruhan agar wanita memakai jilbab bertujuan mereka tidak diganggu sepertimana hamba-hamba wanita diganggu. Justeru, demi menjaga kehormatan wanita merdeka, maka disuruh kepada mereka agar memakai tudung.

Kedua, apabila sesuatu itu dianggap sebagai perkara keagamaan, sudah pasti ia dilakukan oleh semua manusia, tanpa dibezakan antara hamba dan merdeka.

Contohnya, ibadat solat dan puasa. Semua muslim – sama ada lelaki atau perempuan, hamba atau merdeka – wajib menunaikannya tanpa dibezakan antara mereka.

Tetapi berbeza dalam hal aurat – aurat hamba wanita berbeza dari aurat wanita merdeka. Dalam Hadis, dinyatakan bahawa aurat hamba wanita sama seperti aurat lelaki – perlu ditutup anggota dari pusat hingga lutut22 sedangkan aurat wanita merdeka pula – seperti dalam Al-Quran – seluruh badannya.

Memandangkan ada perbezaan antara aurat hamba wanita dengan wanita merdeka, mereka menyimpulkan bahawa aurat wanita yang disuruh tutup seperti yang termaktub dalam Al-Quran itu bukan bersifat keagamaan, tetapi sekadar amalan kebudayaan Arab sahaja.

Jika ia bersifat keagamaan, sudah pasti tidak ada perbezaan dalam menentukan kadar aurat wanita merdeka dari aurat hamba wanita.

Mengelak dari zina

Ketiga, didapati bahawa ayat al-Quran yang menyuruh wanita memakai tudung ini terdapat dalam dua ayat dari dua surah – Surah al-Ahzab, ayat 59 dan Surah al-Nur, ayat 31.

Melihat pada ayat 60 surah Al-Ahzab, didapati suruhan memakai tudung itu ada kaitan dengan mengelak dari gangguan dari orang munafiq (orang jahat) dan mereka yang punyai penyakit hati yang sentiasa mencari peluang untuk membuat fitnah kepada Nabi dan orang Islam.

Pada Surah al-Nur pula, pada ayat 30 – 31, didapati suruhan itu ada kaitan untuk mengelak kejadian yang boleh membawa kepada zina (persetubuhan di luar pernikahan), iaitu dengan suruhan agar menjaga penglihatan dan kemaluan.

Dengan ini, mereka menyimpulkan bahawa suruhan memakai tudung itu bertujuan untuk mengelak dari zina dan gangguan dari orang yang ada penyakit hati yang sering membuat fitnah.

Makanya, jika dalam budaya sesuatu masyarakat yang lain, andai tidak ada kaitan dengan membawa kepada zina dan gangguan yang membawa kepada fitnah, maka ia tidak termasuk dalam maksud ayat.

Dengan hujah-hujah ini, mereka berpendapat bahawa suruhan memakai tudung yang termaktub dalam nas wahyu ini bersifat kebudayaan Arab – dalam budaya Arab, ia dianggap sebagai aib, tetapi tidak semestinya aib dalam budaya masyarakat yang lain.

Seperti tidak memakai tudung – ia mungkin menjadi aib bagi masyarakat Arab Saudi, Pakistan dan Afghanistan, tetapi tidak menjadi aib bagi masyarakat yang lain seperti Maroco, Egypt, Malaysia, Indonesia dan sebagainya.

Berkenaan berpakaian ketat, berwangi-wangian dan bersolek pula; semua itu mereka berpendapat bahawa larangan itu, jika ia dianggap aib dan tidak terhormat dalam budaya sesuatu masyarakat.

Namun, jika tidak mendatangkan aib, malahan melahirkan rasa terhormat dalam sesuatu masyarakat yang lain, maka ia tidak termasuk dalam larangan.

Pun begitu, pendapat ini tidak disetujui oleh ramai ulama Islam. Untuk mereka, suruhan memakai tudung, larangan memakai ketat bagi wanita, berwangi-wangian dan bersolek – kesemua itu adalah urusan yang melibatkan keagamaan.

Kesimpulan

Dari perbincangan ini, dapat disimpulkan seperti berikut:

Pertama, seluruh ulama Islam sepakat bahawa wajib bagi semua lelaki dan perempuan yang beragama Islam menutup aurat, iaitu menutup beberapa anggota badan tertentu dari dilihat oleh manusia demi memastikan dirinya terhormat dan tidak mengaibkan. Tetapi, maksud aurat itu diperselisihkan dalam kalangan mereka.

Kedua, penentuan aurat yang diwajibkan tutup itu terdapat kekhilafan dalam kalangan ulama Islam, seperti aurat lelaki tidak sama dengan aurat perempuan. Begitu juga, berlaku perdebatan besar dalam kalangan ulama berkenaan pemaknaan aurat.

Ada kalangan mereka beranggapan ia sebagai perkara keagamaan. Sebilangan lain pula menganggap, ia bersifat kebudayaan yang mana agama campur tangan secara tidak langsung sahaja.

Ketiga, aurat bagi kaum lelaki adalah menutup anggota dari pusat sehingga lutut. Pun begitu, ada sebilangan ulama Islam berpendapat bahawa membuka lutut dan paha itu dibolehkan, sepertimana dapat dilihat pada pemain bola yang memakai seluar pendek.

Keempat, aurat bagi wanita pula, hampir semua ulama Islam sepakat menyatakan bahawa wajib menutup seluruh tubuh badannya kecuali muka dan tangan.

Pun begitu, terdapat perbezaan pendapat dalam kalangan ulama dahulu dan sebilangan ilmuwan dan pemikir muslim kontemporari. Mereka menganggap, suruhan menutup seluruh badan wanita itu merujuk kepada kebudayaan Arab sahaja, bukan berbentuk keagamaan.

Kelima, bagi mereka yang menganggap aurat adalah isu keagamaan, mereka menekankan larangan bagi wanita muslimah memakai pakaian ketat, bersolek dan berwangi-wangian yang menarik perhatian lelaki.

Ini berbeza dengan pendapat yang melihat pemaknaan aurat sebagai isu kebudayaan masyarakat Arab sahaja – mereka berpendapat larangan tersebut, andai memakai sebegitu boleh mendatangkan keaiban dan hilang sifat terhormat dalam budaya sesuatu masyarakat. Tetapi, tidak terlarang, andai ia tidak mendatangkan keaiban dan tidak terluput sifat terhormat dalam sesuatu budaya sesuatu masyarakat yang lain.


WAN JI WAN HUSSIN merupakan pendakwah dan pengarah akademik Saudara Research Centre. Tulisan ini dipetik dari saudara.org

Tulisan ini merupakan pandangan peribadi penulis atau organisasi yang diwakilinya serta tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen