Pengiklanan

    Kuih Orang Asli pun Melayu tak beli, kata calon PH


    (Dikemaskini )

    PRK CAMERON HIGHLANDS | Calon Pakatan Harapan (PH) M Manogaran percaya bahawa sekiranya BN meletakkan calon Orang Asli pada pilihan raya kecil (PRK) Cameron Highlands, strategi itu tidak akan berhasil.

    Bagi menjelaskan hujahnya, ahli DAP itu memberikan perumpamaan berkaitan kuih.

    "Ikut perkiraan BN, mereka fikir... Mereka tak faham. Orang Melayu tak beli kuih dari gerai Orang Asli. Saya tak fikir mereka (orang Melayu) akan undi Orang Asli.

    "Orang Melayu akan tanya: kenapa tak ada calon orang Melayu? Kenapa letak Orang Asli?' Orang Cina, India juga tidak akan undi Orang Asli," katanya kepada Malaysiakini.

    Manogaran berkata demikian sebagai mengulas spekulasi kemungkinan BN mencalonkan bekas bekas pegawai polis Orang Asli Ramli Mohd Noor pada PRK 26 Jan ini.

    Manogaran berkata Ramli juga tidak dapat meraih majoriti undi Orang Asli.

    Masyarakat Orang Asli mewakili 20 peratus daripada keseluruhan pengundi di Cameron Highlands. Sementara orang Melayu mewakili 34 peratus.

    Bukan cara pilih calon

    "Dengan (pengundi) Orang Asli, mereka (BN) akan kata 'Dia orang kamu sendiri. Apa kata undi dia?'

    "Kami perlu balas dengan kata, 'Dia Orang Asli tapidia belum pernah diuji, dia belum pernah terdedah kepada apa-apa.. Kalau dia menang pun, dia tidak akan dalam kerajaan, jadi siapa yang dapat berkhidmat apa lagi Orang Asli kini memerlukan infrastruktur asas?'

    "Siapa akan beri mereka kemudahan yang mereka sangat perlukan kerana mereka sudah diabaikan begitu lama?" katanya.

    Untuk menegaskan lagi hujahnya, Manogaran memetik bekas presiden MIC S Samy Vellu sebagai contoh.

    "Sammy Vellu memimpin orang India selama 30 tahun. Apa yang dia beri kepada orang India? Jadi jangan guna logik itu, sokong orang yang dapat selesaikan masalah. Kempen saya akan menggunakan Samy Vellu sebagai contoh.

    "Berapa banyak orang Cina rugi di bawah MCA? Jadi itu bukan cara memilih calon menjadi wakil rakyat," katanya.

    Manogaran berkata, tidak seperti orang Cina dan golongan kelas menengah India, Orang Asli masih memerlukan bantuan daripada kerajaan persekutuan.

    "Anda perlukan kerajaan persekutuan untuk meneliti masalah anda. Jadi saya akan memanfaatkan kelebihan ini untuk kempen.

    "Saya tak fikir dia (Ramli) akan dapat undi Orang Asli sepenuhnya. Saya tak rasa begitu, kerana Orang Asli akan undi kerajaan; di mana Jakoa (Jabatan Kemajuan Orang Asli) diletakkan. Mereka akan lihat pada Jakoa," katanya.

    Penamaan calon bagi PRK Cameron Highlands akan diadakan 12 Jan ini. Sementara BN dijangka mengumumkan calon mereka pagi esok.

    [Baca berita asal]

    Tukar kepada versi desktop untuk bacaan lebih baik.

    Tukar sekarang Tidak, terima kasih