malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
BN mungkin pertaruh bekas pegawai kanan polis Orang Asli bagi sekat PH
Diterbitkan:  Jan 9, 2019 4:36 PM
Dikemaskini: 8:36 AM
ADS

PRK CAMERON l Pada tahun 2015, Ramli Mohd Noor menjadi pegawai polis Orang Asli paling tinggi dalam sejarah negara.

Dan hari ini, spekulasi bertiup kencang bahawa BN mungkin mempertaruhkan tugas menawan kerusi Cameron Highlands pada pilihan raya kecil 26 Januari nanti ke atas bekas penolong pesuruhjaya polis itu.

Ramli adalah penduduk tempatan dari suku Semai, yang membentuk sebahagian besar daripada 22 peratus pengundi Orang Asli di kerusi parlimen itu.

Beliau memulakan kerjayanya sebagai inspektor percubaan sebelum dinaikkan pangkat demi mpangkat. Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Ketua Jabatan Jenayah Komersial Pulau Pinang.

Ramli memiliki Sarjana Pentadbiran Awam dari University of East London.

Dalam temu bual dengan NST pada tahun 2015, Ramli mendedahkan bahawa beliau adalah pegawai polis generasi kedua dan anaknya juga seorang anggota polis.

Bapanya, Mohd Nor Abdullah, adalah anggota pengasas Senoi Praaq, pasukan polis hutan yang kini sebahagian daripada Pasukan Operasi Am.

Pencalonan Ramli boleh menyekat peluang Pakatan Harapan untuk menawan kerusi itu kerana beliau dikatakan mampu menarik sokongan kedua-dua masyarakat Melayu-Islam, termasuk penyokong PAS, dan kumpulan Orang Asli.

Berjumlah kira-kira 34 peratus, masyarakat Melayu-Islam membentuk majoriti pengundi berdaftar di Cameron Highlands.

Kumpulan Orang Asli pula adalah golongan majoriti di sembilan daripada 29 daerah mengundi di Cameron Highlands. Pada pilihan raya umum lalu, sebahagian besar masyarakat itu dilaporkan menyokong BN.

Keputusan pilihan raya lalu juga menunjukkan bahawa pengundi Melayu berpecah antara BN dan PAS, walaupun jumlah yang lebih memihak kepada BN.

Setakat ini, nama lain yang dikatakan turut tersenarai sebagai calon BN adalah timbalan presiden Umno yang menjalankan tugas-tugas presiden Mohamad Hasan dan Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail.

Wan Rosdy juga adalah Adun Jelai. Jelai dan Tanah Rata adalah dua kerusi Dewan Undangan Negeri yang membentuk kawasan Parlimen Cameron Highlands.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen