malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
PAS, Orang Asli penentu di Cameron Highlands
ADS

Ketika Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 pada 9 Mei lalu, BN memenangi kerusi Cameron Highlands dengan 42.32 peratus undi manakala Pakatan Harapan (PH) memperolehi 39.87 undi.

Di tempat ketiga, PAS memperoleh 14.73 undi.

Dengan margin tipis yang memisahkan BN dan PH, penyokong PAS mungkin menjadi penentu untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) yang berlangsung 26 Jan ini.

 Berdasarkan keputusan 9 Mei lalu, kebanyakan penyokong PAS berada di Jelai- salah satu daripada dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam kerusi parlimen Cameron Highlands.

Dalam kawasan tersebut, PAS mendapat kira-kira dua kali ganda undi berbanding PH, dan memenangi tiga daripada 12 daerah mengundi di Jelai.

Tiga kawasan tersebut bersebelahan antara satu sama lain- kawasan Felda di Sungai Koyan, Kampung Keledek dan Kampung Bukit Kota- membentuk satu lingkaran dari Jalan Ringlet-Sungai Koyan melalui keseluruhan Jalan Sungai Koyan-Berchang.

Kawasan parlimen Cameron Highlands terbahagi kepada 29 daerah mengundi. Dalam PRU-14, BN (biru) memenangi 15 daripadanya, diikuti PH (10) dan PAS (3).

Untuk PRK kali ini, PAS tidak akan meletakkan calon manakala BN masih berbelah bahagi sama ada meletakkan calon Umno atau ketua Orang Asli di kawasan yang secara tradisinya diwakili oleh MIC itu.

Dengan ketiadaan PAS, siapa yang akan menjadi pilihan pengundi Melayu di kawasan kampung?

Menurut Pengarah Program Merdeka Center Ibrahim Suffian, Umno tidak semestinya menjadi pilihan mudah para pengundi.

“Susah hendak ramal bagaimana sebenarnya mereka akan mengundi. Dalam PRK baru-baru ini di Selangor, kita perasan ramai penyokong PAS tak keluar untuk mengundi calon bukan Melayu oleh BN.

“Kalau mengikut anggaran, hanya separuh penyokong PAS yang mengundi calon Umno dalam PRK Seri Setia,” katanya kepada Malaysiakini.

Tidak seperti empat PRK lalu (selepas PRU-14), PRK kali ini merupakan yang pertama kali diadakan di kawasan BN, dan penyandangnya juga daripada BN.

“Soalannya adalah, apakah perubahan dalam kerajaan pusat akan mempengaruhi kesetiaan pengundi?” tambah Ibrahim.

Ujian untuk mengukur sokongan Orang Asli

Satu lagi pihak yang mampu menjadi penentu di Cameron Highlands adalah komuniti Orang Asli, yang merupakan kira-kira 22 peratus daripada 7,500 pengundi di sana.

Komuniti in i- majoritinya orang Semai- kebanyakannya tinggal di pedalaman Jelai.

Terdapat sembilan daerah mengundi di mana 94 peratus (atau lebih) pengundinya terdiri daripada Orang Asli. PH dan PAS kalah teruk di semua sembilan daerah tersebut.

Keputusan tersebut memberi gambaran bahawa Orang Asli adalah penyokong terkuat BN pada 9 Mei lalu.

Kawasan biru gelap menunjukkan sembilan daerah mengundi di Cameron yang mempunyai lebih 90 peratus pengundi Orang Asli.

Sebaliknya, pengundi Melayu pula terpecah antara BN dan PAS, dengan BN mempunyai sedikit kelebihan. Keputusan PRU-14 lalu juga menggambarkan pengundi kuat PH terdiri daripada pengundi Cina dan India.

Bagaimanapun, memandangkan PH kini sudah menjadi kerajaan, pemerhati politik memberitahu Malaysiakini bahawa trend pengundian Orang Asli akan diperhatikan secara mendalam, kerana hal ehwal Orang Asli dikawal oleh Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) di bawah kerajaan pusat.

Ibrahim menjangkakan BN mungkin kehilangan sokongan padu yang diterima daripada Orang Asli selama ini.

“Sekarang PH berkuasa, BN tak boleh terlalu yakin dengan sokongan itu (yang selama ini ditunjukkan). Dalam satu segi, PRK ini adalah ujian bagi mengukur sokongan Orang Asli kepada BN,” katanya.

Menurut Pengarah Operasi Ilham Centre Azlan Zainal, walaupun PH mengetuai agensi yang menjaga hal ehwal Orang Asli, perkara tersebut tidak semestinya bermaksud Orang Asli akan menyokong mereka.

“Ini ditambah pula PH akan menggunakan bendera merah (logo) PH yang masih lagi asing buat mereka. Oleh kerana BN juga menguasai Kerajaan Negeri, kami fikir undi Orang Asli masih bersama dengan BN namun berkurangan berbanding PRU-14,” katanya.

Satu lagi faktor yang mungkin menjadi faktor penentu undi Orang Asli, adalah kecenderungan politik ketua suku mereka.

“Undi mereka dengan BN sebelum ini adalah kerana BN menguasai segala-galanya- jentera, bantuan, kebajikan dan sebagainya dan bukan semata-mata kerana ideologi BN.

“PH akan mengambil masa untuk mendapatkan dan meraih undi Orang Asli,” tambah Azlan lagi.


Andrew Ong turut membantu dalam laporan ini.

Lihat Komen