malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Bilik bujang: Sewa RM100 mulai tahun ini - Datuk Bandar KL
Diterbitkan:  Jan 8, 2019 10:52 PM
Dikemaskini: 2:52 PM
ADS

Golongan bujang berpendapatan rendah yang tinggal di ibu kota bakal menikmati kadar sewa bilik serendah RM100 sebulan menerusi skim ‘micro-housing’ mulai tahun ini.

Datuk Bandar Kuala Lumpur Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata inisiatif itu diperkenalkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi membantu mengurangkan beban golongan bujang dalam kumpulan B40 yang mengalami kesukaran mencari bilik sewa ketika bekerja di sekitar ibu kota.

"Kami akan membuat konsep seperti 'capsule hotel' yang mana sebuah bangunan lama DBKL di Jalan Tuanku Abdul Rahman telah dikenalpasti dan akan diubahsuai menjadi dua blok iaitu untuk lelaki dan wanita bujang, masing-masing mempunyai 120 buah bilik.

"Dua blok bangunan itu boleh menampung sehingga 200 penghuni dan mereka akan dikenakan kadar sewa bulanan serendah RM100," katanya kepada pemberita ketika wawancara '100 hari Datuk Bandar Kuala Lumpur' di ibu negara, hari ini.

Bagaimanapun, Nor Hisham berkata penghuni bangunan itu tidak dibenarkan memasak.

"Kerja-kerja pengubahsuaian mula dilakukan sejak dua minggu lalu dan peruntukan untuk tujuan ini adalah di sekitar RM5juta hingga RM10 juta.

"Kami menjangkakan ia akan siap dalam pertengahan tahun ini dan akan mula membuka permohonan kepada golongan bujang dalam tempoh yang sesuai," katanya.

Katanya penghuni 'micro-housing' dikehendaki berpindah jika mereka berkahwin atau membeli rumah.

"Kami akan membuka permohonan secara 'online' menerusi iklan DBKL. Buat masa sekarang kami akan tertumpu kepada bangunan di Jalan Tuanku Abdul Rahman dan kami akan memperluaskan program ini ke kawasan lain di ibu kota jika ada permintaan tinggi," katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen