malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Najib, China nafi laporan WSJ dakwa China tawar tebus 1MDB
Diterbitkan:  Jan 8, 2019 9:56 PM
Dikemaskini: 2:41 PM
ADS

Bekas perdana menteri Najib Razak dan China masing-masing menafikan laporan Wall Street Journal (WSJ) yang mendakwa negara itu pada 2016 menawarkan untuk menebus 1MDB yang berdepan masalah kewangan sebagai sebagai balasan penganugerahan projek besar di Malaysia.

Menerusi hantaran di Facebook, Najib berkata China tidak pernah membuat tawaran sedemikian mahupun menawarkan untuk memasang peranti pengintip di rumah dan pejabat wartawan WSJ yang membuat laporan berkenaan skandal 1MDB, di Hong Kong.

"Seperti dilaporkan oleh WSJ dan diketahui ramai, ini (tawaran menyelamatkan 1MDB) juga tidak pernah berlaku.

"Malaysia terus berusaha dan berjanji menandatangani perjanjian penyelesaian dengan IPIC milik kerajaan Abu Dhabi untuk memastikan bahawa semua wang yang didakwa hilang dari 1MDB akan dikembalikan sebelum 31 Disember 2020," katanya.

Sementara itu dalam kenyataan berbeza, jurucakap kedutaan China di Kuala Lumpur berkata negara itu mengamalkan dasar tidak campur tangan dalam hal ehwal dalaman di negara lain.

"China tidak pernah menyertakan syarat politik dalam kerjasama kami dengan negara lain.

Komited kerjasama dengan Dr M

"Kami mempromosikan Inisiatif 'One Belt, One Road' mengikut prinsip rundingan meluas, sumbangan bersama dan perkongsian manfaat, dengan matlamat ke arah pembangunan dan kemakmuran bersama.

"Kami tidak menerima sebarang tuduhan tidak berasas yang dibuat terhadap China," kata kenyataan itu hari ini.

Pihak kedutaan juga menjelaskan China kekal komited untuk bekerjasama dengan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad bagi memperbaiki hubungan Malaysia-China.

Laporan Wall Street Journal (WSJ) memetik minit mesyuarat yang tidak didedahkan sebelum ini, menyebut China pada 2016 pernah menawarkan untuk menebus 1MDB yang menghadapi masalah kewangan sebagai balasan penganugerahan projek saliran paip bagi program 'One Belt, One Road'.


BACA:

WSJ: China pernah tawar tebus 1MDB sebagai ganjaran projek

K'jaan harap WSJ beri salinan 'minit mesyuarat' Malaysia-China


WSJ juga menyatakan bahawa China turut menawarkan untuk memasang peranti pengintip di rumah dan pejabat wartawan WSJ di Hong Kong yang ketika itu membuat liputan 1MDB, bagi mengenal pasti sumber maklumat mereka.

"Minit mesyuarat menunjukkan pegawai China memaklumkan bahawa kerajaan China akan menggunakan pengaruh bagi memastikan AS dan negara lain menggugurkan siasatan berhubung kes melibatkan perdana menteri ketika itu Najib Razak dan sekutunya, yang didakwa menyeleweng dana 1MDB.

"Sebagai balasan, Malaysia menawarkan kepentingan dalam projek saliran paip untuk program infrastruktur kerajaan China 'One Belt, One Road'.

"Dalam tempoh beberapa bulan, Najib, yang menafikan sebarang salah laku dalam kes 1MDB, menandatangani perjanjian projek saliran paip bernilai AS$34 bilion dengan syarikat China, yang akan didanai bank-bank China dan dibina oleh pekerja China," kata laporan yang ditulis Tom Wright dan Bradley Hope.

Malaysia alu-alukan kapal tentera asing

Memetik sumber, laporan itu turut menyatakan bahawa selain menganugerahkan projek kepada China, Najib juga mengadakan rundingan sulit bagi membenarkan tentera laut China berlabuh di dua pelabuhan Malaysia.

Untuk rekod, Low menafikan sebarang salah laku, sementara Najib memohon dibicarakan mahkamah terhadap tuduhan jenayah berkaitan 1MDB terhadapnya.

Sementara itu, Najib berkata Malaysia telah mengalu-alukan kapal tentera laut asing ke pelabuhan Malaysia selama beberapa dekad, malah kapal dari Amerika Syarikat dan Rusia.

Najib juga menafikan projek saluran paip gas, projek ECRL dan TSGP telah dinilai melebihi harga pasaran.

Di samping itu, beliau berkata kos projek itu juga mengalami kesan inflasi dan penurunan nilai ringgit berbanding dengan tukaran mata wang asing lain pada 2016.

Najib juga mengingatkan perniagaan berfungsi secara dua hala. Berikutan pemeteraian projek TSGP dan ECRL, eksport minyak sawit serta getah ke China meningkat secara mendadak.

Pada tahun 2016, beliau berkata, China merupakan pengimport keempat terbesar minyak kelapa sawit dan getah Malaysia. Pada tahun 2017, republik itu menjadi pengimport getah Malaysia yang terbesar dan pengimport kedua terbesar minyak sawit Malaysia.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen