malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
KJ: Kami tak dimaklum urus niaga China untuk tebus 1MDB
Diterbitkan:  Jan 8, 2019 3:39 PM
Dikemaskini: 7:39 AM
ADS

Khairy Jamaluddin berkata Kabinet ketika pentadbiran BN sebelum ini tidak pernah dimaklumkan berkenaan kaitan urus niaga China dengan usaha bail out 1MDB, jika ia benar-benar berlaku.

Bekas menteri belia dan sukan itu merujuk laporan Wall Street Journal hari ini bahawa China pada 2016 menawarkan untuk menebus 1MDB yang berdepan masalah kewangan sebagai balasan untuk projek saliran paip bawah program 'One Belt, One Road'.

Laporan itu memetik dokumen yang dikatakan sebagai minit mesyuarat antara Malaysia dan China yang tidak pernah didedahkan sebelum ini.

"Sebagai bekas anggota Kabinet saya boleh katakan dengan jelas bahawa Kabinet tidak pernah diberitahu bahawa urus niaga China berkaitan dengan bail out 1MDB.

"Jika ada bukti ia berlaku, ia tanpa kelulusan Kabinet," katanya di Twitter.

Beliau menyifatkan dakwaan itu sebagai perkara yang besar dan perlu disiasat secara terperinci.

Laporan yang memetik sumber itu merujuk kepada projek Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL) dan Saluran Paip Gas Trans-Sabah (TSGP) yang menurutnya dibiayai bank-bank China dan melibatkan pekerja dari negara itu.

Selain penganugerahan projek, laporan itu juga mendakwa perdana menteri ketika itu Najib Razak mengadakan rundingan sulit bagi membenarkan tentera laut China berlabuh di dua pelabuhan Malaysia.

Menurut laporan itu lagi, pegawai China pada 2016 juga memberitahu pegawai Malaysia bahawa kerajaan negara itu akan menggunakan pengaruhnya untuk memastikan negara luar - termasuk Amerika Syarikat - menggugurkan siasatan ke atas 1MDB.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata kerajaan akan meneliti laporan itu dan berharap mendapat salinan dokumen yang dipetik WSJ dalam laporan itu.