BERITA

'Sultan Pahang boleh jadi Agong dengan tugas dijalankan pemangku'

8 Jan 2019, 6:49 pagi

Dikemaskini 2 tahun lepas

A
+
A
-

Susulan peletakan jawatan Sultan Muhammad V sebagai Yang di-Pertuan Agong, timbul spekulasi berhubung pengganti baginda.

Berdasarkan sistem penggiliran yang diamalkan bagi jawatan ketua negara itu, giliran seterusnya adalah Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah dan diikuti Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Menurut senarai, giliran seterusnya adalah Pahang. Namun Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah tidak sihat dan takhta kini dipangku anaknya Tengku Abdullah.

Bagaimanapun, pakar sejarah Prof Dr Ramlah Adam berpendapat Sultan Ahmad Shah masih boleh dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong dengan tugas baginda dijalankan oleh pemangkunya, Timbalan Yang di-Pertuan Agong.

Timbalan Yang di-Pertuan Agong ketika ini adalah Sultan Perak Sultan Nazrin Shah.

“Sekiranya Sultan Pahang diberi peraturan biasa iaitu gilirannya menjadi Yang di-Pertuan Agong walaupun baginda gering tapi boleh dilantik sekiranya dibenarkan Majlis Raja-raja dan baginda berminat.

“Walau baginda gering pun, pemangkunya boleh melaksanakan tugas-tugas Yang di-Pertuan Agong. 

"Jadi saya rasa masih boleh ikut sistem giliran cuma soalnya sekarang, apakah itu dibenarkan Majlis Raja-raja?” katanya dipetik Sinar Harian.

Tegas Ramlah, semua keputusan tetap tertakluk kepada budi bicara Majlis Raja-raja.

Ramlah juga berkata bahawa sekiranya Sultan Pahang menolak untuk dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong, giliran seterusnya ialah Sultan Johor.

“Kalau mengikut sistem dulu-dulu kita gunakan sistem giliran yang diikuti dengan undi sulit. Pusingan pertama sudah tamat, sekarang pusing kedua jadi.

“Kalau Sultan Pahang tidak mahu jadi Yang di-Pertuan Agong barulah giliran itu turun kepada Sultan Johor.

“Saya rasa Majlis Raja-raja akan sedayanya mengikut giliran sebab ini satu perkara yang mereka tidak mahu singgung. Maksudnya, mereka tidak akan membuat keputusan sebarangan,” katanya dipetik sebagai berkata.

Pergiliran negeri dalam pusingan pertama Yang di-Pertuan Agong telah selesai sebelum ini dengan urutan Negeri Sembilan, Selangor, Perlis, Terengganu, Kedah, Kelantan, Pahang, Johor, Perak.

Dalam pusingan kedua masih berbaki tiga negeri yang masih belum dipilih iaitu Pahang, Johor dan Perak.

Mesyuarat khas Majlis Raja-Raja yang bersidang di Istana Negara 7 Jan lalu memutuskan pemilihan Yang di-Pertuan Agong (YDPA) ke-16 akan berlangsung pada Khamis, 24 Januari ini.

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.