malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Lelaki didakwa hina Agong tak lagi bekerja dengan Cisco ASEAN
Diterbitkan:  Jan 8, 2019 11:25 AM
Dikemaskini: 3:25 AM
ADS

Cisco ASEAN, syarikat yang menggajikan seorang lelaki yang didakwa menghina bekas Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V di media sosial dilaporkan tidak lagi bekeraja dengan syarikat tersebut.

Cisco ASEAN dalam satu kenyataan malam semalam turut menyesal dan memohon maaf atas sebarang kesulitan yang berlaku.

"Cisco menghormati tradisi dan undang-undang Malaysia. Kenyataan itu dibuat oleh pekerja dalam kapasiti peribadi dan tidak mewakili pandangan Cisco.

"Kami sangat menyesal atas sebarang kesulitan dan meminta maaf. Pekerja tersebut juga telah mengeluarkan permintaan maaf dan tidak lagi berkhidmat dengan syarikat ini," kata Cisco ASEAN dalam satu kenyataan di Facebook.

Ulasan lelaki itu yang mengaitkan tindakan Seri Paduka turin takhta kerana “sibuk berzina” adalah menerima kecaman pelbagai pihak yang menganggapnya sebagai satu "bentuk penghinaan dan fitnah".

Kenyataan Cisco ASEAN itu walau bagaimanapun tidak menyatakan sama ada lelaki berkenaan meletakkan jawatan atau dipecat.

Berikutan bidasan dan kecaman di media sosial, lelaki, yang bekerja sebagai seorang pengurus pembangunan perniagaan, mengakui beliau telah membuat komen yang tidak sepatutnya terhadap Sultan Muhammad V.

"Saya telah membuat komen biadab yang tidak sepatutnya terhadap bekas Yang di-Pertuan Agong hari. Saya telah menarik balik kenyataan itu dan memohon maaf kepada kumpulan di mana saya membuat komen yang menjadi tular tersebut.

"Saya benar-benar meminta maaf kerana membuat komen yang tidak sepatutnya itu. Saya berharap mereka yang marah disebabkan itu boleh memaafkan saya," katanya.