malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
3 kali dicekup khalwat, tapi dengan pasangan berbeza
Diterbitkan:  Jan 7, 2019 6:26 PM
Dikemaskini: 10:26 AM
ADS

Seorang gadis dari Marang dihadapkan ke Mahkamah Rendah Syariah di Kuala Terengganu atas dakwaan khalwat buat kali ketiga.

Tertuduh 25 tahun yang dicekup bersama pasangan berbeza diperintahkan dihantar ke Pusat Pemulihan Wanita di Sabak Bernam, Selangor selama empat bulan, lapor BH Online.

Keputusan itu dibuat Hakim Mohd Fakhruddin Yusof selepas tertuduh mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 31(b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 kerana berkhalwat.

Pasangannya yang turut mengaku salah dikenakan denda RM2,400 atau sebulan penjara sekiranya gagal menjelaskan denda.

Tertuduh bersama pasangan berusia 21 tahun didakwa berkhalwat di sebuah bilik hotel bajet di Kuala Terengganu pada jam 10.20 pagi pada 2 Januari 2018.

Tertuduh ketika berumur 16 tahun dilapor pernah ditangkap khalwat dan dikenakan hukuman bon berkelakuan baik untuk tempoh dua tahun.

Bagaimanapun, tertuduh sekali lagi ditangkap dalam hotel bersama pasangan lain dua tahun lalu, lapor akhbar itu lagi.

Menjawab soalan mahkamah, tertuduh menafikan melacurkan diri sebaliknya memaklumkan melakukan perbuatan itu kerana ketagih.

Pendakwaan dijalankan Pendakwa Syarie Khanurulhajja Mustafar, lapor BH Online lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!