malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
MB Kelantan: Tuanku memang tak begitu minat jadi Agong
ADS

Menteri Besar Kelantan Ahmad Yakob mendedahkan, Sultan Muhammad V sejak awal lagi tidak begitu menunjukkan minat untuk menjadi Yang di-Pertuan Agong.

Beliau berkata, perasaan Sultan Kelantan itu berdasarkan maklumat yang diketahuinya ketika tempoh awal pertabalan baginda.

"Pada asal dulu, Tuanku Sultan tidak berminat sangat untuk jadi Yang di-Pertuan Agong. Ini yang saya ada maklumat waktu itu.

"Tuanku tidak begitu (menunjukkan) minat apabila dijangka (ditabalkan). Tetapi selepas itu Tuanku ambil tanggungjawab sebagai Agong," katanya ketika ditemui pemberita selepas program di Kampung Laut, Tumpat, malam ini.

Sultan Muhammad V meletakkan jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong berkuatkuasa hari ini.


Baca: Yang di-Pertuan Agong letak jawatan

Baca: Giliran negeri mana untuk jadi Yang di-Pertuan Agong?


Perkara itu dimaklumkan Datuk Pengelola Bijaya Diraja Wan Ahmad Dahlan Abd Aziz melalui kenyataan media Istana Negara petang tadi.

Sultan Kelantan ke-29 itu ditabal menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-15 pada 13 Disember 2016, menggantikan Almarhum Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah dari Kedah.

Beliau menyifatkan Sultan Muhammad V telah menjalankan tugas sebagai ketua negara dengan baik.

"Perkhidmatannya sebagai Agong tak ada masalah, Tuanku buat apa tugas yang termaktub sebagai Agong," katanya.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata pihaknya menerima perletakan jawatan itu dan akan berbincang dengan ketua setiausaha kerajaan negeri berhubung persediaan sewajarnya.

"Terpulanglah kepada Tuanku, kita terimalah kerana itu haknya sebagai sultan.

"Saya sebagai ketua kerajaan akan berbincang dengan ketua setiausaha kerajaan negeri dan bahagian protokol berhubung tindakan seterusnya selepas Sultan Muhammad V melepaskan jawatannya sebagai Agong secara rasmi," katanya lagi.

Lihat Komen