malaysiakini logo
ADS
story-image
mk-logo
Berita
Adun mohon waktu operasi UTC Ampangan dilanjutkan
ADS

Kerajaan diminta memanjangkan waktu operasi Pusat Transformasi Bandar (UTC) Ampangan bagi memberi keselesaan dan kemudahan kepada rakyat berurusan dengan agensi-agensi kerajaan yang beroperasi di sana.

Anggota Dewan Undangan Negeri Ampangan Dr Mohamad Rafie Ab Malik berkata, ramai yang merungut kerana waktu operasi yang dihadkan sehingga pukul tujuh malam menyukarkan mereka menyelesaikan urusan-urusan yang berkaitan.

“Saya masih berbincang dengan kementerian kewangan supaya UTC Ampangan diberi pengecualian dan dikembalikan kepada waktu operasi yang asal iaitu dari pukul 8.00 pagi hingga 10 malam.

“UTC Ampangan ramai orang dan masa yang pendek mungkin menjejaskan perkhidmatan kerajaan kepada rakyat,” katanya kepada media ketika ditemui pada Majlis Minum Petang bersama Majlis Pengurusan Komuniti Kampung, Ahli Majlis dan Pengerusi Surau DUN Ampangan di Seremban hari ini.

Mohamad Rafie yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan Negeri berkata, menyedari masalah tempat letak kereta di UTC itu, kawasan tapak Pasar Basah Ampangan akan dibangunkan semula sebagai bangunan tiga tingkat yang menempatkan pasar, di samping 302 petak ruang parkir.

ADS

“Kerajaan persekutuan telah meluluskan peruntukan RM40 juta untuk tiga projek iaitu pembangunan semula Pasar Basah Ampangan, jejantas yang menghubungkan Medan Selera Ampangan ke UTC Ampangan dan sebuah dewan orang ramai. Buat sementara waktu Pasar Basah Ampangan akan dipindahkan ke lokasi berhadapan Kompleks Belia dan Sukan, Paroi,” katanya.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen