malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Mat salih jawab isu Melayu malas kembali tular
Diterbitkan:  Jan 6, 2019 1:42 PM
Dikemaskini: 5:53 AM
ADS

Rakaman video seorang mat salih menjawab stereotaip mengenai tuduhan Melayu malas, kembali tular di media sosial.

Zayn Al-Abideen Gregory - seorang pensyarah berasal dari Amerika Syarikat -mempertahankan orang Melayu yang dilabel sesetengah pihak sebagai malas.

Zayn yang fasih berbahasa Melayu menyanggah pandangan tersebut berdasarkan pengalamannya sendiri yang telah lama bergaul dengan orang Melayu.

Beliau menceritakan kisah isterinya- seorang wanita Melayu berasal dari kampung - berjaya memperolehi PhD di luar negara hasil kerja keras dan kegigihannya.

"Pertama kali saya jumpa bakal isteri dekat Amerika Syarikat, saya memang kagum. Sanggup berkembara ke tempat sangat jauh, masuk ke tempat lain, berbudaya Melayu demi mencari ilmu.

"Beliau asal kampung dari kawasan ladang kelapa, waktu kecil kutip buah nyiur, buat santan, masak dengan tempurung demi mencari sesuap rezeki bersama ibunya yang janda. Beliau belajar rajin-rajin sampai dapat pergi oversea, kejar impiannya hingga memperolehi sijil tertinggi PhD dalam bidang khusus di negara orang.

"Bukan saya nak puji isteri saja, cukup ramai budak Melayu dengan cerita yang lebih kurang begitu. Saya sudah kenal dan menjadi kawan sewaktu di USA dulu," kata Zayn menerusi rakaman tersebut.

Bagaimanapun sekembalinya ke Malaysia,  Zayn berkata beliau terkejut  apabila mendapati terdapat tuduhan mengatakan kaum Melayu sebagai malas.

"Bukan bangsa lain cakap, Melayu cakap. Hairan saya. Sudah tentu tidak betul dan nampak bukti tak betulnya dengan dua biji mata sendiri. 

"Maka saya tertanya-tanya bagaimana fahaman ini muncul dan menular sampai orang percaya dengan penuh keyakinan," kata Zayn.

Mitos pribumi malas

Rupa-rupanya, kata Zayn beliau tidak perlu membuat kajian sendiri kerana sudah ada orang Melayu menjawab tuduhan tersebut. 

Beliau merujuk kepada buku Mitos Pribumi Pemalas, karya pemikir terkenal Syed Hussein Alatas yang diterbitkan pada tahun 1977.

Dalam video yang dimuat naik ke Youtube pada 2017, terdapat sekurang-kurangnya 19 episod Zayn mengupas kandungan buku tersebut dan mempertahankan orang Melayu daripada label negatif itu.

Sebelum ini, perdana menteri Dr Mahathir Mohamad sering mengaitkan sifat malas orang Melayu sebagai punca mereka tidak berjaya, khususnya dalam perniagaan.

Pada September, Dr Mahathir pada majlis ulang tahun Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) dilapor berkata Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang memberi banyak peluang dan bantuan kepada orang Melayu gagal kerana mereka 'malas'.

Beliau berkata orang Melayu tidak bekerja sekuat orang lain dan tidak mengambil berat terhadap aspek tanggungjawab, selain lemah menguasai ilmu serta maklumat.

Mahathir sekali lagi mengulangi pendiriannya baru-baru ini apabila mengatakan tindakan afirmatif kerajaan untuk membantu Melayu di negara ini tidak akan mencapai matlamatnya jika orang Melayu sendiri tidak mahu mengubah sikap.

“Kalau tak kerja kita tak dapat duit, kalau tak usaha tak maju. Bila saya kata orang Melayu malas, orang marah saya tapi ini kebenaran.

"Kalau kita tak nak kerja, orang lain akan datang bekerja. Akhirnya orang asing yang memiliki negara ini. Sekarang sudah ada tujuh juta orang (pekerja warga) asing di Malaysia,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen