malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Anak ditahan positif ganja: Mat Sabu serah pihak berkuasa ambil tindakan
Diterbitkan:  Jan 5, 2019 9:09 PM
Dikemaskini: 2:00 PM
ADS

Menteri Pertahanan Mohamad Sabu mengesahkan anaknya ditahan polis tengah malam tadi selepas didapati positif ganja.

Mohamad juga berkata berkata beliau menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan terhadap anaknya.

"Saya dan keluarga menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk bertindak atas proses undang-undang sedia ada.

"Anak saya sama seperti anak orang lain juga, tertakluk kepada undang-undang negara," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Sinar Harian hari ini, anaknya ditahan dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Jalan Ampang pada pukul 12.30 tengah malam tadi.

Lelaki berusia 31 tahun itu kemudian dibebaskan dengan jaminan polis.

Sementara itu, Free Malaysia Today memetik Mohamad sebagai menyifatkan ia merupakan detik paling sukar dalam hidup keluarganya dan mereka tidak menjangka ia akan berlaku.

"Sebagai ayah, saya juga mahu tahu perkara sebenar," katanya sambil memaklumkan isterinya "sayu dan sedih" selepas mendapat khabar itu.

"...Saya juga menjunjung prinsip semua orang tidak bersalah sehingga dibuktikan salah oleh mahkamah undang-undang...Bagaimanapun jika dia benar-benar buat salah, maka saya akan akur kepada kehendak undang-undang," katanya seperti dipetik.

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Jika sabit kesalahan, ia membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun.

Lihat Komen