malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Pesan aktivis pada PH: Tetap bantu Orang Asli walau kalah PRK
ADS

Aktivis Orang Asli berharap usaha kerajaan Pakatan Harapan (PH) membantu golongan itu akan tetap diteruskan walaupun gabungan itu kalah dalam PRK Cameron Highlands.

Pengerusi Jaringan Kampung Orang Asli Semenanjung Malaysia (JKOAM) Tijah Yok Chopil dan Pengerusi Jaringan Perkampungan Orang Asli Johor (JPOAJ) Dolah Tekoi juga menyambut baik Persidangan Nasional mengenai Orang Asli yang dijangka berlangsung 11 Januari ini, walaupun merasakan ia hanyalah gimik politik.

Tijah dan Dolah antara yang akan menyertai sesi meja bulat esok bagi mengenal pasti masalah utama yang dihadapi Orang Asli sebelum dibawa ke persidangan itu.

Menurut Tijah, beliau tidak kisah dengan hal itu asalkan nasib Orang Asli mendapat pembelaan sewajarnya.

"Kami sambut baik semua pihak yang mahu tolong atau bincang isu Orang Asli. Cuma ia agak tergesa-gesa dan sejujurnya saya lihat ia hanya gimik PRK.

"Kalau mereka mahu jadikannya modal kempen tak kisahlah asalkan ia (bantuan) berterusan dan jangan berhenti jika kalah," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Tijah Yok Chopil

Dolah pula mencadangkan agar lebih masa diambil untuk persidangan itu agar rancangan rapi boleh dibuat.

"Mungkin boleh dibuat pada Februari atau Mac agar boleh disusun lebih rapi," katanya.

Namun jika ia tetap akan diadakan, katanya lagi, beliau berharap masalah tanah adat menjadi antara isu utama yang dibangkitkan, terutama dalam soal mekanisme penyelesaian dari segi undang-undang agar membolehkan tanah adat diiktiraf.

Pandangan mereka senada dengan aktivis Parti Sosialis Malaysia (PSM) Suresh Kumar yang menyifatkan konvensyen itu - yang diumumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri P Waythamoorthy - diadakan secara terburu-buru dan hanya sebagai kempen PRK.

Dicadangkan pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang, P Waythamoorthy berkata ia untuk membincangkan cadangan proaktif yang dapat menyelesaikan masalah yang sekian lama dihadapi golongan itu.

Tijah juga menyebut isu tanah adat sebagai masalah yang sudah lama berlarutan dan perlu dibangkitkan dalam persidangan, selain isu pendidikan, kesihatan, ekonomi dan kemudahan asas.

Masyarakat Orang Asli merupakan 20 peratus pengundi di Cameron Highlands.

Dolah Tekoi

Dolah pula membangkitkan kebimbangan yang disuarakan Suresh - hanya tok batin akan dijemput untuk mewakili komuniti Orang Asli dalam persidangan itu.

Beliau menggesa pihak lain turut dijemput agar pandangan yang dibangkitkan nanti "lebih telus".

“Tok batin adalah mereka yang dibayar gaji, jadi sudah pasti mereka ada pertimbangan lain misalnya dari segi sayangkan jawatan,” katanya.

'Jangan undang tok batin saja'

Tijah pula berkata tanggapan yang tok batin tidak akan memberitahu masalah sebenar mereka ketika berjumpa pemimpin juga mungkin kerana budaya mereka yang menghormati orang lain.

“Budaya Orang Asli, dia hormat kamu, kamu cakap apa saja, dia akan cakap ya, terutama orang kampung. Dia hanya akan cakap hal baik sahaja. Tapi isu sebenar mereka takkan bongkar.

“Jika ini berlaku, masalah Orang Asli takkan selesai,” katanya lagi.

Mengakui tok batin adalah ketua masyarakat Orang Asli, Dolah mengingatkan ada pihak lain yang turut boleh mewakili golongan itu seperti pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Orang Asli (MPKKOA), ketua-ketua adat, serta aktivis dan NGO yang membawa isu mereka.

Beliau berharap mereka turut diundang menyertai persidangan itu nanti.

Berkongsi padangan senada, Tijah menggesa kerajaan turut menjemput "golongan yang lebih terbuka" untuk membangkitkan masalah Orang Asli di persidangan itu, antaranya aktivis, pakar dan peguam yang pernah mewakili Orang Asli di mahkamah.

Antara pihak yang disebutnya ialah Jaringan Orang Asal Se-Malaysia (JOAS), Center for Orang Asli Concerns (COAC), Persatuan Orang Asli Semenanjung Malaysia (POASM) dan Majlis Peguam.

“Mungkin selama ini kerajaan terdahulu dapat maklumat daripada tok batin, (kerana itu) maklumat tak tepat. Sebab itu 61 tahun merdeka, masalah tak selesai,” katanya lagi.

Lihat Komen