Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V, hari ini berkenan menunaikan solat Jumaat di Masjid Sultan Ismail Petra, Kubang Kerian, di Kota Bharu.
Gambar yang memaparkan baginda menunaikan solat itu diedarkan oleh Bernama dan disiarkan di beberapa portal akhbar.
Menurut portal Berita Harian Online, Baginda yang memakai jubah berwarna krim, tiba di masjid berkenaan kira-kira jam 1.30 tengah hari, diiringi Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Nazran Muhammad; dan Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad.
Kira-kira 5,000 jemaah menghadiri solat Jumaat itu yang diimankan Imam Muda masjid berkenaan, Abdul Baari Abdullah.
Sebaik solat Jumaat, Yang di-Pertuan Agong bersama jemaah turut menunaikan solat sunat Hajat bagi mendoakan supaya Baginda dikurniakan kesihatan berpanjangan dan kekuatan kerana sudah kembali bertugas.
Baginda sempat bersalaman dengan jemaah sebelum berangkat pulang.
Terdahulu, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata setahu beliau Sultan Muhammad V sudah kembali bertugas.
![](https://i.malaysiakini.com/1350/550a436f77dae3d44b664557eb628d79.jpeg)
“Setahu saya (sudah),” katanya ketika ditanya perkara itu selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan di Yayasan Albukhary, Kuala Lumpur, hari ini.
Dr Mahathir diminta mengulas spekulasi bahawa Seri Paduka bercadang melepaskan jawatan.
“Sama macam kamu, saya pun ada dengar khabar angin.
“Saya tidak terima sebarang surat atau makluman rasmi berkaitan sesuatu, jadi saya tidak akan ulas perkara ini,” kata Dr Mahathir.