malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Ribut Pabuk landa perairan K'tan: Penduduk cemas
Diterbitkan:  Jan 3, 2019 6:28 PM
Dikemaskini: 10:30 AM
ADS

Penduduk di tujuh buah rumah berhampiran persisiran pantai di sekitar Kampung Pantai Pulau Kundur, di Kelantan cemas apabila ribut tropika Pabuk melanda perkampungan itu malam tadi.

Salah seorang penduduk, Isa Hassan ,63, berkata, sejak lebih 60 tahun beliau menetap di Kelantan, ini merupakan kali pertama ribut yang luar biasa pernah terjadi yang turut mencemaskan sembilan anggota keluarganya yang lain.

“Saya tidak pernah jumpa ribut sekuat ini , walaupun tiap kali musim tengkujuh tiba setiap tahun di negeri ini yang menyebabkan angin dan laut bergelora, tapi kali ini ribut yang diibaratkan bercampur dengan pusaran angin amat menakutkan saya,” katanya ditemui di Kota Bharu hari ini.

“Ombak dan angin yang kuat juga telah menghempas dinding bilik belakang rumah kami kira-kira pukul 5 pagi tadi memandangkan jarak rumah hanya empat meter daripada pantai,” katanya.

“Pada masa kejadian, saya dan isteri serta anak-anak hanya mampu beristighfar dan berserah kepada Allah agar tiada kejadian yang tidak diingini berlaku,” katanya.

Sementara itu, warga emas Nik Abdul Aziz , 63, yang tinggal hanya 10 meter dari pantai turut merasa cemas dan cuma dapat melelapkan mata hanya dua jam kerana khuatir nasib dirinya dan keluarga ekoran ribut itu.

Nik Abdul Aziz yang tinggal bersama isteri, Mariam Hassan 60, serta enam anaknya berkata , dia sentiasa berada dalam keadaan berjaga-jaga sehingga awal pagi kerana bimbang berlaku sebarang perkara yang tidak diingini.

“Pukul 3 pagi pun belum tentu lena lagi, kerana ombak dan angin yang kuat, jadi terpaksa berjaga untuk memantau keadaan semasa diluar rumah,” katanya.

"Sebelum ini penduduk di kampung ada bergotong royong membina guni yang berisi pasir di persisir pantai sebagai usaha berjaga-jaga. Pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) juga telah membina tambakan batu untuk menghalang hakisan ombak kuat di sini.

"Namun, usaha itu tidak dapat menyelesaikan masalah hakisan pantai dan kami masih sentiasa berada dalam keadaan berjaga-jaga bila menjelang musim tengkujuh," tambahnya lagi.

- Bernama

Lihat Komen