malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Bapa ayam dikenali 'Jason Cock' ditahan polis
Diterbitkan:  Jan 3, 2019 2:29 PM
Dikemaskini: 6:29 AM
ADS

Seorang ‘bapa ayam’ yang dikenali dengan panggilan ‘Jason Cock’ ditahan ketika dalam perjalanan untuk keluar negara di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dekat Kuala Lumpur pada 22 November lepas.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Bukit Aman, Datuk Rohaimi Md Isa berkata lelaki berusia 30 tahun itu dipercayai hendak keluar negara bagi membawa masuk wanita dari negara jiran untuk dijadikan pelacur di negara ini.

“Hasil pemantauan Unit Anti Maksiat (D7A) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman mendapati aktiviti pelacuran itu dijalankan menggunakan aplikasi WeChat sebagai modus operandi untuk mencari pelanggan,” katanya ketika dihubungi Bernama di Kuala Lumpuri hari ini.

Beliau berkata siasatan lanjut mendapati aktiviti yang aktif sejak 2014 itu beroperasi setiap hari di sekitar hotel dan apartmen sekitar Lembah Klang dan Pulau Pinang.

Rohaimi berkata berdasarkan risikan pihaknya, kira-kira 30 mangsa pelacuran yang terdiri wanita tempatan, warga Indonesia dan Filipina berusia antara 18 hingga 35 tahun telah didagangkan menerusi aktiviti pelacuran itu.

“Kebanyakan pelacur adalah golongan bekerja dan pelajar yang ingin menambah pendapatan, yang mengalami kesempitan hidup dan ingin hidup mewah.

“Mereka menggunakan istilah pelacur sebagai ‘FL’ ( Free Lance), bapa ayam sebagai ‘Master’ dan panggilan untuk pelanggan adalah ‘Bongker’,” katanya.

Pelanggan pula katanya terdiri daripada golongan rakyat tempatan berumur antara 25 hingga 50 tahun dengan yang dikenakan bayaran antara RM200 hingga RM400 bergantung kepada rupa paras pelacur bagi sekali perkhidmatan seks.

Katanya hasil semakan mendapati Jason Cock tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan kini ditahan reman selama 60 hari di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA).

- Bernama

Lihat Komen