malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Undang-undang terpakai pada semua: Raja, menteri, rakyat biasa - PM
Diterbitkan:  Jan 2, 2019 10:32 PM
Dikemaskini: 2:32 PM
ADS

Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menegaskan tiada peruntukan yang mengecualikan sesiapapun daripada kedaulatan undang-undang.

Perdana menteri berkata kedaulatan undang-undang terpakai kepada semua orang, daripada Raja-raja sehinggalah kepada perdana menteri dan menteri-menteri, kepada penjawat awam serta rakyat biasa.

“Bagi Raja-raja terdapat mahkamah khas tetapi undang-undangnya adalah sama seperti undang-undang yang terpakai bagi rakyat biasa. Raja-raja juga mesti menghormati undang-undang.

“Kita telah bersetuju bahawa Malaysia menerima demokrasi, iaitu pemerintahan oleh rakyat dan untuk rakyat. Ini dicapai melalui persetujuan bersama, dalam bentuk demokrasi berparlimen dengan raja berperlembagaan di peringkat negeri dan persekutuan.

“Ke arah ini, perlembagaan dan undang-undang di peringkat yang berlainan telah disebarluaskan. Malangnya beberapa perlanggaran undang-undang telah dilakukan tanpa tindakan diambil oleh agensi penguatkuasaan undang-undang. 

"Dalam kata lain, kedaulatan undang-undang telah tidak diendahkan,” katanya dalam catatan terkini blog chedet.cc malam ini.

Tak adil, rakyat merana

Dr Mahathir menyatakan kebimbangannya apabila melihat pelanggaran undang-undang dilakukan secara terang-terangan atas kepercayaan salah bahawa kekebalan telah diberikan.

"Hasilnya boleh diramalkan dan rakyat merana akibat ketidakadilan. Perniagaan tidak boleh dijalankan dengan baik. Harta benda dirampas. Tindakan luar biasa dan salah telah dilakukan," katanya.

Dr Mahathir berkata aduan awam terhadap mereka yang mencabuli kedaulatan undang-undang adalah sah dan tidak melanggar mana-mana perundangan, malah tidak boleh dianggap sebagai hasutan.

"Mereka akan dianggap sebagai kebebasan berucap. Rakyat boleh membuat laporan terhadap perkara ini atau secara terang-terangan bercakap mengenainya," katanya.

Dr Mahathir juga menegaskan bahawa undang-undang asas Malaysia ialah perlembagaan dan ia merupakan badan undang-undang menyeluruh yang menentukan struktur undang-undang Malaysia daripada Yang di-Pertuan Agong hingga kepada Raja-raja Negeri, kepada kerajaan persekutuan dan negeri serta badan-badan yang diberi kuasa untuk memerintah dan menguatkuasakan.

Najib tak endah undang-undang

Beliau berkata semua undang-undang lain diperoleh daripada perlembagaan dan tiada undang-undang yang dalam apa jua cara sekali pun menafikan perlembagaan mungkin diisytiharkan.

Perdana menteri berkata antara matlamat paling penting Pakatan Harapan ketika dalam perjuangaannya untuk menggulingkan kerajaan kleptokratik Najib Razak adalah memulihkan semula kedaulatan undang-undang.

“Najib tidak mengendahkan undang-undang apabila ia sesuai dengan dirinya. Malah undang-undang telah disalahgunakan untuk menindas rakyat. 

"Daripada melindung rakyat, undang-undang telah mendedahkan rakyat kepada ketakutan yang tidak diketahui tetapi nyata,” katanya.

Dr Mahathir turut menegaskan kerajaan Pakatan Harapan akan menjunjung undang-undang dan hak rakyat serta menegakkan kedaulatan undang-undang.

- Bernama

Lihat Komen