malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Andaikan bukan gangster Melayu dan Adib itu India
ADS

ULASAN | Menyambut ketibaan tahun baru 2019, fikiran saya turut memikirkan apakah yang akan dihidangkan oleh tahun baru ini. Fikiran saya terganggu mengenang beberapa peristiwa terutamanya hari-hari menjelang perhimpunan membantah Icerd dan hari-hari setelah pencerobohan gangster ke Kuil Seafield diikuti oleh rusuhan.

Pelbagai pihak cuba berhujah bahawa kedua-dua peristiwa bantahan Icerd dan rusuhan kuil Seafield bukan insiden perkauman tetapi jelas sekali kedua-duanya memberikan impak yang begitu tinggi kerana ia didorong oleh sentimen perkauman dan etnik.

Merenung isu-isu ini, maka pelbagai isu dan andaian terlintas di fikiran saya. Ia andaian, sebagai seorang pemegang ijazah ekonomi, maka andaian adalah satu disiplin yang penting dalam mengambil kira satu situasi.

Maka otak saya mula memproses beberapa andaian. Andaikan jika gangster India yang masuk ke kuil dan bukan gangster Melayu?

Andaikan jika yang membuat pengumuman sejurus selepas insiden Seafield adalah Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bukan P Wathamoorthy?

Andaikan Muhammad Adib Mohd Kasim – petugas bomba itu bukan seorang Melayu tetapi seorang India?

Perkauman sentimen semulajadi?

Inilah masalah di negara kita. Perhitungan yang kita buat bukan berdasarkan fakta dan kebenaran tetapi dicemari oleh emosi dan sentimen perkauman yang mendalam.

Adakah sentimen ini sesuatu yang semulajadi atau sesuatu yang telah tertanam dalam fikiran kita? Adakah urat nadi yang membawa oksigen ke setiap anggota badan membuatkan kita berfikiran sebegitu?

Negara kita baik Malaysia lama atau Malaysia baru (pentadbiran PH) masih dihantui oleh sistem perkauman dan sistem politik lama yang berlandaskan perkauman ini.

Secara jujurnya, semasa kebakaran pusat tahfiz pada bulan September 2017 yang lalu, saya cukup cemas apabila mengetahui 23 anak muda dan guru terkorban kerana perbuatan satu kumpulan lain yang membakar pusat tahanan kerana perbuatan khianat dan balas dendam.

Tetapi saya berasa lega sedikit apabila mengetahui insiden tersebut dilakukan oleh satu lagi kumpulan anak muda Melayu. Begitulah kusut pemikiran kita. Bayangkanlah jika yang melakukan itu adalah anak orang Cina atau India.

Begitu juga apabila Nhaveen, 19 tahun didera dan dibunuh oleh empat budak lelaki yang lain. Yang membawa kelegaan adalah, mereka yang melakukannya juga adalah belia India.

Walaupun kedua-dua insiden tidak boleh diterima langsung dan merupakan perampasan nyawa manusia, namun disebabkan ia dilakukan oleh etnik yang sama, maka kita kurang satu masalah untuk difikirkan iaitu rusuhan perkauman.

Begitulah rapuhnya perpaduan kaum di sebuah negara yang sudah 61 tahun merdeka.

Terkenang saya, insiden semasa Mahatma Gandhi dibunuh, maka Mounbatten, Viceroy British pada masa itu berasa lega Ghandi dibunuh oleh seorang fanatik Hindu.

Bayangkanlah jika Gandhi dibunuh orang seorang Islam? Begitulah perasaan kita apabila berlaku satu kemalangan atau satu pergaduhan. Soalan di hadapan kita bukan siapa yang betul tetapi orang itu dari kumpulan etnik mana?

Alam persekolahan

Apabila saya mengenang alam di mana saya membesar, suasananya amat berbeza. Saya duduk dalam rumah kuaters kerajaan di Jalan Connolly di Ipoh (hari ini Jalan Tun Perak).

Seingat saya, kawan paling rapat saya semasa antara darjah satu hingga tiga adalah seorang budak Melayu bernama Salmi yang tinggal di rumah penjaga palang keretapi di landasan dan seorang lagi budak Kristian bernama James.

Setiap hari, kami berjalan kaki ke sekolah, membuat nakal dan kacau bersama. Ibu bapa kami tidak menghalang pergaulan kami. Kalau kena marah, kena marah sekali.

Saya belajar di sekolah kebangsaan. Saya cukup berminat suasana alam persekolahan saya di sekolah kebangsaan. Masa saya belajar dan membesar dengan kawan-kawan pelbagai kaum, langsung tidak ada perasaan perkauman.

Semasa saya di sekolah menengah pula, kawan-kawan paling karib dengan saya ialah seorang bernama Mohd Ikmal tetapi kami panggil dia Fook Loke – pemain hoki negara tahun 1975 kerana mukanya nampak macam Cina. 

Seorang lagi Mahendran (bukan nama sebenarnya) kerana mengambil nama pemain hoki kebangsaan pada masa itu. Beliau kini sudah memeluk Islam dan seorang lagi India Muslim bernama Johari atau Jo.

Makanan halal atau tidak

Pada masa itu, kami akan pergi ke setiap rumah mereka dan langsung tidak ada konsep makanan halal atau tidak. Ikmal dan Johari bila berkunjung ke rumah saya, akan makan apa yang ibu saya hidangkan dan begitu juga apabila saya pergi ke rumah Ikmal atau Jo, maka keadaan adalah sama.

Maka begitulah kehidupan kami pada masa itu. Dari pagi sampai malam, kita bersama dan begitu erat. Tidak ada isu seperti boleh sambut Krismas atau tidak, hendak sampaikan ucapan sambutan perayaan dan lain-lain. 

Pada masa itu, semasa Deepavali dan perayaan lain, kita akan berramai-ramai berkunjung ke rumah kawan-kawan beragama lain. Menyambut perayaan dan mengunjungi member-member adalah suatu kewajiban dan kami tidak was-was.

Saya tidak pernah terasa didiskriminasi. Dalam pasukan bola sepak sekolah saya, majoriti pemainnya ialah budak Melayu tetapi jurulatih Melayu memilih saya untuk menjadi ketua pasukan. Sukan pada masa itu tidak didominasi oleh perkauman walau pun hari ini ada pelbagai isu apabila seseorang tidak dipilih.

Pada masa itu juga ada satu keluarga Melayu akan datang pada setiap petang ke rumah saya untuk mendapatkan bekalan air. Pada masa itu, mereka baru berpindah ke Kampung Tengku Hussain di mana ketika itu tiada bekalan air paip.

Mereka akan datang setiap hari, mandi dan ambil air di rumah saya. Langsung tidak pernah terdengar istilah kafir dan lain-lain. Pada masa itulah.

Polarisasi kaum di universiti

Namun suasana dan perasaan ini mula berubah semasa saya melanjutkan pendidikan di peringkat ijazah. Ketika memasuki universiti, saya mula diperkenalkan dengan sistem kuota di mana ia mengikut kaum.

Maka ada markah pencapaian yang berbeza, mengikut kaum. Ini adakalanya boleh dijustifikasi tetapi di sinilah wujudnya perasaan diskriminasi dan sebagainya.

Jika diskriminasi ini adalah mengikut status keluarga berpendapatan rendah (B40) maka ia boleh diterima tetapi diskriminasi adalah mengikut kaum.

Begitu juga asrama-asrama tajaan penuh hampir seratus-peratus pelajarnya adalah orang Melayu dan ini akan sejurus membawa kepada perasaan diskriminasi di hati kanak-kanak yang pergi ke sekolah.

Maka pada fikiran orang bukan Melayu, jika kamu orang Melayu, maka semuanya senang. Maka di sini diwujudkan satu perasaan, suasana dan persaingan yang tidak sihat untuk membina sebuah bangsa Malaysia.

Peraturan kongsi bilik berlainan kaum

Perasaan perkauman dan polarisasi kaum begitu memuncak apabila saya mula belajar di UKM. Semasa di universiti, para senior kami akan menanamkan perasaan bahawa hanya orang dari kaum sendiri sahaja boleh membantu kami.

Minggu orientasi memang berbentuk perkauman. Pada minggu pertama setelah saya memasuki universiti, wujud satu masalah besar. Masalah ini bermula apabila universiti membuat satu regulasi baru di mana setiap pelajar harus tinggal dengan etnik daripada kaum yang lain.

Dalam masa seminggu sahaja, maka wujud satu protes besar oleh PMUKM – Persatuan Mahasiswa UKM yang diterajui oleh kumpulan Islam – Islam Penyelamat Ummah (IPU) di mana mereka membuat petisyen membantah sistem duduk bersama etnik lain. Maka diwujudkan petisyen tandatangan.

Pada satu hari, senior-senior India saya membawa saya ke pejabat PMUKM di mana kami pula didedahkan dan dapat baca bantahan-bantahan pelajar Islam terhadap bukan Islam. 

Jika anda membaca, maka akan wujud perasaan marah dan benci di mana bantahan mereka mengapa mereka tidak mahu etnik bukan Melayu adalah, antaranya isu bau, makanan, pakaian dan lain-lain.

Kaum lain ditonjol sebagai begitu kotor dan menjijikkan. Maka senior-senior India pula meminta kami menulis petisyen bantahan mengapa pelajar India tidak mahu duduk dengan pelajar Melayu.

Suara gesa tutup SRJK Tamil, Cina

Maka alasan dan rasionalnya oleh orang India terhadap Melayu juga cukup menjijikan dan menghina. Maka akhirnya langkah UKM untuk cuba membolehkan pelajar Melayu dan bukan melayu duduk sebilik gagal dan polisi ini telah ditukar kemudiannya.

Saya juga dimaklumkan oleh pelajar senior bahawa sebelum ini, "kita ada PMI - Persatuan Mahasiswa India tetapi selepas Anwar Ibrahim menjadi menteri pendidikan, semua bentuk persatuan berlandaskan etnik kaum telah diharamkan." 

Maka pelajar India dan Cina beroperasi secara rahsia untuk meneruskan tradisi ini. Maka di sini harus difahami bahawa bukan dengan mengharamkan sesuatu maka perpaduan dapat dicapai.

Baru-baru ini juga ada suara-suara yang berpendapat bahawa sekolah SRJK Tamil dan Cina harus ditutup dengan niat untuk membina satu sistem persekolahan berseragam. Namun membina perpaduan kaum tidak boleh dilakukan melalui paksaan dan undang-undang semata-mata.

Jika kita memaksa satu bahasa atau budaya kepada orang lain, maka ia akan membawa impak songsang. Kita harus membolehkan proses perpaduan itu berlaku secara semulajadi dan tanpa paksaan.

Sistem Sekolah Wawasan sebenarnya satu cubaan yang baik tetapi disebabkan wujud begitu banyak prasangka antara kaum, maka ia tidak dapat berjaya. Jika Pakatan Harapan bijak, mereka dapat membina satu budaya Malaysia yang lebih inklusif, majmuk, mungkin rojak sedikit tetapi sedap.

Di universiti, walaupun semua pelajar diwajibkan mengambil mata pelajaran Tamadun Islam tetapi adalah amat senang untuk lulus dalam peperikasaan objektifnya, di mana jawapan untuk banyak soalan senang dan perlu hafal sahaja.

Contohnya soalan akan berbunyi – Apakah agama yang paling berpengaruh di abad ke 20 di rantau Asia Tenggara? Jawapannya senang – Islam.

Maka cubaan untuk mengislamkan orang bukan Islam dengan cara begini, biasanya akan menyebabkan sentimen songsang di mana setiap orang bukan Islam, akan didorong oleh ahli keluarga mereka, kumpulan agama mereka untuk melipat-gandakan usaha mereka untuk memastikan mereka lebih memahami agama mereka sendiri kerana takut mereka akan tukar agama.

Cara terbaik untuk menunjukkan agama kita lebih baik, sudah tentunya adalah dengan mengutuk agama yang lain. Maka hak untuk seseorang menganut sesuatu agama secara ikhlas seperti yang termaktub dalam perlembagaan negara tidak dapat direalisasi.

Kejutan budaya, pemisahan

Saya masih ingat semasa saya di tahun kedua pengajian universiti, saya menghadiri satu mesyuarat AJK Asrama di Kamsis Ungku Omar, saya terkejut (kejutan budaya) apabila terdapat satu kain di tengah-tengah bilik mesyuarat di mana orang lelaki tidak boleh melihat orang perempuan yang duduk dalam bilik yang sama dalam satu mesyuarat bersama.

Kita hanya boleh dengar suara mereka sahaja. Bayangkanlah bagaimana terperanjatnya saya dan apakah persepsi saya terhadap agama Islam pada masa itu. Ia membimbangkan.

Kita kena tegur sentimen perkauman dari kaum kita dulu. Saya mahu kembali ke suasana saya di sekolah dulu dan sekarang. Saya berpendirian ada ramai juga orang bukan India di kalangan orang Melayu dan Cina yang mempunyai pandangan yang sama dengan saya.

Sebenarnya kita dapat hidup aman jika kita dapat menegur kaum kita sendiri, apabila mereka bersifat rasis atau bercakap tidak rasional atau mendiskriminasi orang lain.

Saya ada dalam lebih seratus kumpulan Whatsapp. Ada Whatsapp saya yang hanya orang India sahaja manakala ada Whatsapp di mana majoritinya adalah orang Melayu sahaja.

Dalam mana-mana satu isu – kita dapat melihat bagaimana pandangan mereka begitu berbeza seperti laut dengan langit. Contohnya adalah isu bagaimana Adib meninggal dunia?

Maka media sosial hari ini dengan pelbagai cerita yang tidak sahih dan tipu menyebabkan keadaan ini semakin teruk.

Dalam Whataspp group, kawan-kawan bekas satu pengajian saya di Fakulti Ekonomi UKM, dimana ramai rakan saya adalah orang Melayu, saya sekalipun langsung tidak merasakan seperti orang luar.

Mereka di sana membuat saya berasa yakin dengan diri saya dan sebahagian dari keluarga besar. Jika ada sesiapa yang membuat posting yang terlalu perkauman dan agama, mereka akan tegur dengan cara yang baik. Inilah apa yang kita perlukan di negara kita.

Majoriti senyap

Mereka yang cintakan keamanan dan perpaduan jauh lebih ramai daripada mereka yang suka perkauman dan rusuhan. Golongan majoriti senyap ini kena lebih berani untuk menegur kaum kita masing-masing supaya setiap pandangan dan analisa kita adalah berlandaskan kepada kebenaran, kesaksamaan, logik dan keadilan sejagat.

Adalah tanggungjawab kita bercakap kepada kumpulan etnik kita masing-masing, bahasa perpaduan, membantah ucapan benci kaum dan sebagainya. Kita kena lawan kumpulan ekstrem dan hipokrit dalam kaum kita masing-masing.

Salam. Inilah renungan saya di tahun baru. Tulisan ini tidak berniat untuk meletakkan satu etnik atau agama lebih tinggi daripada apa-apa. Ia hanyalah satu pemerhatian dan refleksi sendiri dalam perjalanan ini.

Menghormati kemanusiaan sejati dan melawan perkauman sempit. Selamat Tahun Baru 2019.


S ARUTCHELVAN ialah Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Tulisan ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen