malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Menteri kesihatan sedia berdepan semakan kehakiman larangan merokok
ADS

Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad menyatakan kesediaan untuk berdepan permohonan semakan kehakiman yang difailkan NGO Pertahankan Hak Perokok bagi mencabar larangan merokok di premis makanan seluruh negara yang berkuatkuasa hari ini.

"Saya sudah meneliti permohonan semakan kehakiman oleh tujuh individu dan peguam mereka Haniff Khatri.

"Kita sedia untuk berdepan perkara ini, untuk berjumpa mereka di mahkamah, kerana kita yakin kita berada di landasan yang betul," kata Dzulkefly pada sidang media selepas program tinjauan di beberapa kedai makan di Bandar Seri Permaisuri, Cheras.

Tujuh anggota pro-tem Pertahankan Hak Perokok - Mohd Hanizam Yunus, Mohd Laisani Abdullah dan lima yang lain - semalam menamakan Kementerian Kesihatan sebagai responden dalam permohonan semakan kehakiman mereka di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

NGO berkenaan memohon mahkamah membatalkan larangan yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan tersebut kerana mendakwa larangan itu bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Selain itu, mereka juga memohon mahkamah mengeluarkan perintah penggantungan terhadap penguatkuasaan larangan itu sehingga semakan kehakiman mereka didengar dan diputuskan oleh mahkamah.

Pertahankan Hak Perokok menyatakan asas bagi permohonan mereka antaranya adalah ia bertentangan dengan Perlembagaan memandangkan merokok bukan jenayah, dan mempunyai hak sama rata dengan golongan yang tidak merokok.

Bagaimanapun, Dzulkefly hari ini berkata kerajaan sedang meneliti kemungkinan meluaskan lagi larangan berkenaan ke premis lain yang mempunyai risiko asap rokok terdedah kepada bukan perokok.

Antara lain, Dzulkefly menyebutkan premis perkhidmatan dobi, yang menurutnya kerana ibu bapa sering membawa anak-anak mereka.

Oktober lalu, Kementerian Kesihatan mengumumkan larangan merokok di semua premis makanan di seluruh negara.

Pihak yang didapati melanggar larangan itu boleh didenda RM10,000 atau penjara dua tahun.

Pemilik premis makanan yang didapati membenarkan pelanggan merokok akan didenda maksimum RM2,500.

Perokok bagaimanapun dibenarkan merokok 3 meter (kira-kira 10 kaki) dari premis makanan.

[Baca berita asal]

Lihat Komen