malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Syed Saddiq berang perwakilan guna pentas minta kontrak
ADS

Berucap di pentas Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu ke-2 yang diadakan di Putrajaya hari ini, Ketua Pemuda Parti Bersatu Malaysia (Bersatu) Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengakui terpaksa lari dari teks ucapan asalnya.

Ini demikian kerana beliau tidak selesa mendengar beberapa perwakilan yang bercakap isu jawatan dan kontrak.

Syed Saddiq tidak menyebut perwakilan-perwakilan yang dimaksudkan, namun secara spesifik menyebut perwakilan Wilayah Persekutuan yang menurutnya membangkitkan isu kontrak.

"Saya nak tegur sebagai anak muda. Perwakilan Wilayah tadi. Sampai berani nak namakan menteri yang menjanjikan (kontrak). Tak masuk akal!

"Bayangkan, itu boleh jadi kes SPRM. Mana boleh!

"Kalau layak guna saluran yang betul. Pergi tengok (perhimpunan) PKR, DAP, dan Amanah. 

"Tengok Umno dulu pun tak berani bincang perkara seperti ini di khalayak umum. Mana maruah kita?" katanya dengan suara yang lantang disambut tepukan beberapa hadirin.

Tambah Syed Saddiq, perwakilan berkenaan merupakan "orang sama" yang menuduhnya sebagai tidak cukup Melayu.

"Orang sama yang kata saya tak Melayu sangat, tidak memperjuangkan ketuanan Melayu, sanggup bincang tentang kontrak. Kata, bukalah pintu (untuk kontrak). Masya-Allah," katanya.

Jelas Syed Saddiq, golongan Melayu yang seharusnya ditolong anak-anak muda Felda yang miskin dan anak muda yang tidak berpeluang masuk universiti, bukannya orang Melayu yang sentiasa mahu menjaja kontrak.

Sebelum itu, Syed Saddiq mengajak hadirin mengimbas semula ketika Bersatu mula-mula ditubuhkan.

"Ingat semula di mana kita pada masa tersebut. Kita tiada jawatan, tiada harta, tiada kontrak. Yang ada semua dilucutkan dan disekat. Bukan saja itu, bila nak pakai dewan tak boleh.

"Walaupun Umno ada semua itu, mereka tetap kecundang di tangan rakyat. Kenapa? Kerana perjuangan kita perjuangan yang ikhlas," katanya.

Hari ini merupakan hari terakhir Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu ke-2 yang bermula sejak Jumaat lalu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen