malaysiakini logo
story-image
ADS

Pakar perlembagaan Abdul Aziz Bari berkata status Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim tidak boleh disamakan dengan veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah dalam isu penglibatan kerabat diraja dalam politik.

Beliau mengulas cadangan bekas pemimpin Umno Khairuddin Abu Hassan agar Tunku Ismail "turun singgahsana" dan menjadi ahli politik sepenuh masa - seperti yang dilakukan oleh Tengku Razaleigh dan bekas Timbalan Menteri Pengangkutan Tengku Azlan ibni Sultan Abu Bakar yang merupakan adik Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah.

Abdul Aziz berkata perbandingan itu tidak tepat memandangkan Tengku Razaleigh dan Tengku Azlan hanya kerabat diraja dan bukan pewaris takhta seperti Tunku Ismail.

Baginya, pewaris takhta tidak sepatutnya menjadi ahli politik.

Walaupun Tunku Ismail belum menjadi raja, katanya, kedudukannya sebagai seorang yang bakal menaiki takhta menghalangnya daripada berbuat demikian.

"Tak boleh (jadi ahli politik). Kalau nak jadi ahli politik, tak boleh jadi raja. Sebab raja kebal manakala orang politik mana boleh ada imuniti," katanya kepada Malaysiakini.

Apabila ditanya sama ada ia termaktub dalam undang-undang, beliau berkata tiada peraturan khusus mengenai penglibatan raja mahupun pewaris takhta dalam politik.

Bagaimanapun beliau berkata secara etika mereka perlu berhati-hati dalam menyatakan pandangan.

Dalam kenyataan 28 Disember lalu, Khairuddin berkata beliau mengutarakan cadangan itu agar TMJ - yang dikenali lantang menyuarakan pandangan berhubung isu semasa dan politik - lebih dihormati dan dipandang mulia rakyat.

"Amat kurang enak kerana Tuanku boleh mengkritik rakyat tetapi rakyat tak boleh mengkritik Tuanku kerana Perlembagaan yang memagari Tuanku.

"...Turunlah dari takhta secara terhormat agar Tuanku boleh terus mengkritik pemimpin kerajaan dan rakyat juga boleh mengkritik Tuanku secara terbuka," kata Khairuddin yang kini menjadi ahli Amanah.

Mengulas perkara itu, Abdul Aziz yang kini merupakan exco kerajaan Perak dari DAP berkata tiada masalah bagi golongan diraja untuk berbuat demikian tetapi dengan cara yang berhemah.

"Batasan dan adab itu ada sebab TMJ tak boleh bercakap macam orang lain kerana bukan rakyat biasa," katanya.

Menyifatkan kenyataan Khairuddin agak keras, beliau menyifatkan penyokong kuat perdana menteri itu tidak boleh dipersalahkan sepenuhnya.

"Siapa pun termasuk TMJ kalau buat kenyataan keras macam tu dia jangan terkejutlah kalau reaksinya juga keras," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen