malaysiakini logo
story-image
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Mujahid perjelas surat kanda, dindanya pada Izzah
Diterbitkan:  Dec 26, 2018 4:28 PM
Dikemaskini: 8:35 AM
ADS

Di balik sindiran diterima, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mujahid Yusof berkata beliau gembira apabila suratnya kepada Nurul Izzah Anwar mendapat perhatian meluas.

“Warkah dari Codova untuk Nurul Izzah” itu yang mencuri perhatian kerana penggunaan kata ganti nama kekanda dan adinda itu diajuk meluas di alam maya, termasuk oleh bekas perdana menteri Najib Razak.

Menjelaskan perkara itu, Mujahid berkata beliau sengaja memilih lenggok bahasa yang kedengaran agak mendayu bagi menyampai mesej kepada anggota parlimen Permatang Pauh.

“Seronok saya membaca komen-komen berkisar warkah saya kepada YB Nurul Izzah.

“Saya sengaja memilih lenggok bahasa begitu untuk menyampaikan mesej saya kali ini.

“Ternyata istilah kekanda adinda lebih menarik perhatian semua,” kata Mujahid dalam catatan di Facebooknya, hari ini.

Semalam Mujahid yang dalam perjalanan dari Cordova ke Madrid, Sepanyol menulis surat terbuka kepada Nurul Izzah yang dipaparkan kepada umum di Facebook beliau.

Dalam warkah sepanjang 25 perenggan itu Mujahid memanggil Nurul Izzah sebagai adinda dan membahasakan diri beliau sebagai kekanda.

Berikutan itu, beliau mendapat sindiran hebat di laman sosial termasuk Najib yang menganggap surat Mujahid kepada Nurul Izzah sebagai “drama”.

Bagaimanapun Mujahid berterima kasih atas semua teguran yang diberikan kepadanya.

“Namun saya mohon dibaca serta dihayati isi kandungannya.

“Mungkin berguna buat generasi muda yang melalui liku-liku politik dalaman sama seperti yang saya pernah lalui,” katanya yang mengakhiri status Facebook itu dengan hashtag #warkahdaricordova.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen