Kementerian Kesihatan akan mengekalkan bilangan kakitangan penguat kuasa dan tidak akan menambah jumlah peruntukan bagi menguatkuasakan pengharaman merokok di semua kedai makan di seluruh negara mulai Januari tahun depan,
Menurut Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye seramai 5,008 orang pengawai dan penolong pengawai kesihatan sedia ada akan memasukkan pemantauan ke atas premis makanan ke dalam senarai tugas mereka.
“Tugas mereka bukan sahaja menguatkuasakan pengharaman merokok, tetapi juga bertanggungjawab ke atas aspek lain seperti pemeriksaan kebersihan, tempat pembiakan nyamuk Aedes dan sebagainya,” kata beliau dipetik FMT.
Tambah Lee, tiada peruntukkan tambahan akan disediakan untuk tujuan itu.
Turut mengulas mengenai kritikan operator restoran dan pihak lain berhubung pengharaman tersebut, beliau berkata pihak kerajaan telah mengadakan sesi dialog dengan pengusaha tempat makan.
Lindungi hak bukan perokok
“Paling penting, ini adalah langkah yang perlu kita ambil bagi melindungi hak bukan-perokok untuk menikmati persekitaran bebas asap rokok. Dalam jangka panjang, kita mahu mengawal bilangan perokok di negara ini,” jelasnya.
Setakat ini,lebih 100 restoran di seluruh negara telah secara sukarela menguatkuasakan zon larangan merokok.
Lee berkata, notis larangan merokok mestilah dipamerkan oleh pemilik restoran dan tempat habuk rokok tidak disediakan di restoran mereka.
Menurutnya, Kementerian kesihatan melalui talian telefon 24jam di 03-88924530 boleh dihubungi oleh operator restoran sekiranya terdapat pelanggan yang enggan mematuhi larangan tersebut.
Malaysia dijangka menguat kuasa larangan merokok di semua tempat makan berhawa dingin dan tidak berhawa dingin termasuk restoran, kedai kopi, pusat penjaja terbuka dan gerai kaki lima.
Peraturan larangan merokok tersebut diwarta mengikut Peraturan 11, Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004. Semua tempat makan berhawa dingin dan tidak berhawa dingin termasuk restoran, kedai kopi, pusat penjaja terbuka dan gerai kaki lima akan menjadi kawasan larangan merokok.
Denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun akan dikenakan sekiranya didapati melanggar peraturan itu.
Bagi pengusaha premis makan yang gagal mematuhi peraturan itu pula, mereka boleh didenda melebihi RM3,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan.
Bagaimanapun, Lee menjelaskan perokok masih dibenarkan merokok 10 kaki (tiga meter) dari premis makan.
"Kita faham juga mengenai hak perokok ini, jadi kita benarkan mereka merokok 10 kaki (tiga meter) dari premis berkenaan,” katanya pada 17 Disember lalu.