Keunikan seni bina rumah tradisional Melayu yang mewarnai industri pelancongan negeri Melaka bukan sahaja mampu menarik pelancong, malah menjadi lambang kepakaran seni pertukangan zaman silam.
Kurator Perbadanan Muzium Melaka (Perzim), Fadhilah Md Saleh berkata seni bina sesebuah rumah juga dikatakan mencerminkan kedudukan, keperibadian serta jati diri pemiliknya selain bersandarkan kepada petua tertentu, sesuai dengan faktor persekitaran, adat resam, kepercayaan dan penghayatan.
Beliau memberikan contoh rumah pusaka Demang Abdul Ghani yang terletak di Merlimau, Jasin, kira-kira 23 kilometer dari pusat bandar Melaka, yang dijadikan galeri dan destinasi pelancongan negeri ini.
Pada 2006, rumah berkenaan didaftarkan menggunakan nama anaknya, Penghulu Md Nattar sebagai bangunan Warisan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645).
Menurut Fadhilah, Jabatan Warisan Negara membaik pulih rumah tersebut pada 2008 dengan kos yang dianggarkan kira-kira RM2 juta.
Demi memastikan rumah tradisonal itu sebagai warisan khazanah negara yang terus terpelihara, Kerajaan Negeri Melaka melalui Perzim mengambil alih rumah berkenaan dan menjadikannya sebagai galeri pada 2011. Ia dirasmikan sebagai Galeri Demang Abdul Ghani pada 2012.
“Sebelum ini, rumah itu dikenali sebagai Rumah Penghulu Md Nattar. Ketika berunding dengan keluarga berkenaan, mereka memohon agar rumah itu dikenali sebagai Galeri Demang Abdul Ghani yang merupakan pemilik asalnya,” jelas beliau yang kini menanggung tugas Pengurus Besar Perzim kepada Bernama.
Promosi rumah demang
Kerajaan negeri Melaka, khususnya Perzim kini giat mempromosi rumah pusaka yang berusia 187 tahun itu sebagai pusat pelancongan yang dikenali sebagai Galeri Demang Abdul Ghani.
Menurut Fadhilah, meskipun Perzim mengambil alih rumah itu bagi memastikan ia tidak uzur dan menjadikannya sebagai pusat pelancongan, rumah dan tanah itu kekal sebagai milik anggota keluarga Demang Abdul Ghani.
“Tidak rugi sebenarnya membenarkan agensi kerajaan menjadikan rumah tradisional itu sebagai galeri. Kita juga tidak menghalang sekiranya anggota keluarga berkenaan mahu mengadakan acara di situ.
“Prof Dr Noor Hassim Ismail, iaitu cucu Demang Abdul Ghani banyak memberi kerjasama kepada Perzim,” katanya.
Malah, tambah Fadhilah, Dr Noor Hassim merupakan tunggak kekuatan yang menyatukan keluarga selain membantu mendapatkan kebenaran untuk menjadikan rumah itu sebagai galeri.
Ukiran dua naga warna emas
Demang Abdul Ghani membina rumah pusaka itu pada 1831 di tanah seluas 0.4 hektar sebelum beliau dilantik menjadi penghulu pada 1834, menggantikan bapanya Abdul Majid, seorang hartawan berketurunan Palembang - juga tokoh yang membuka penempatan di Merlimau.
Dianggarkan dibina dengan kos RM33,000 pada ketika itu, rumah Demang Abdul Ghani sarat dengan pelbagai ukiran berunsurkan seni bina Melayu dan Cina. Antaranya ukiran dua ekor naga berwarna emas di atas pintu pagar kecil sebelum masuk ke balai penghadapan rumah itu.
Fadhilah berkata saban tahun kerajaan negeri Melaka, Jabatan Warisan Negara dan Perzim berusaha menjadikan Galeri Demang Abdul Ghani sebagai warisan kebangsaan kerana seni bina tradisional seumpama itu adalah khazanah dan tinggalan sejarah yang amat bernilai justeru, perlu dipertahankan untuk tatapan generasi masa depan.
Usaha dan kerja keras pihak kerajaan negeri serta agensi berkaitan untuk memahatkan rumah tradisional itu sebagai warisan kebangsaan tidak sia-sia apabila, pada 17 Oktober, rumah tradisional berkenaan diisytiharkan sebagai Warisan Kebangsaan 2018 oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.
“Pengiktirafan ini memang dinanti-nantikan kerana ia memberi kelebihan dari segi perlindungan dan penjagaan serta promosi, selain menarik kedatangan pelancong lebih ramai ke galeri ini,” katanya.
Warisan kebangsaan langkah positif
Beliau berkata penganugerahan status Warisan Kebangsaan 2018 itu adalah langkah positif sekali gus merintis usaha lebih giat dalam mendapatkan pengiktirafan antarabangsa bagi menjadikan rumah itu sebagai salah satu warisan dunia di bawah Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNESCO).
Menurut beliau, seramai 1,227 pelancong mengunjungi Galeri Demang Abdul Ghani sejak Januari hingga November tahun ini.
Keindahan seni bina Galeri Demang Abdul Ghani bukan sahaja menarik perhatian pelancong, malah menjadi lokasi pilihan pasangan pengantin pelbagai kaum untuk mengabadikan kenangan hari istimewa masing-masing.
Pembantu Operasi Galeri Demang Abdul Ghani, Khairul Amri Ismail, berkata hujung minggu dan musim cuti persekolahan adalah waktu paling sibuk di galeri berkenaan kerana selain pelancong banyak pasangan pengantin juga hadir ke situ.
Malah, kalangan pereka fesyen, pihak majalah dan media sering memilih galeri berkenaan sebagai lokasi untuk pelbagai urusan berkaitan.
Ibarat istana lama
“Mereka berpendapat rumah itu sangat klasik ibarat istana lama. Bahagian depan rumah dan di singgahsana yang terdapat di bahagian rumah ibu adalah pilihan utama untuk bergambar,” kata Khairul Amri yang ditugaskan menjaga rumah itu sejak 24 Dis 2011.
Selain itu, galeri turut menjadi lokasi popular dalam kalangan pelajar sekolah dan universiti sebagai rujukan untuk menyiapkan tugasan mereka.
Rumah tradisional itu mempunyai enam ruang utama, iaitu balai penghadapan, serambi, rumah ibu, bilik tidur utama, rumah tengah dan dapur.
Sesiapa sahaja yang berkunjung ke Melaka wajar meluangkan masa untuk melawat Galeri Demang Abdul Ghani, dan menikmati keindahan seni bina rumah tradisional itu. Pasti pengunjung akan terpukau apabila melihat seni binanya, apatah lagi jika diamat-amati setiap ukirannya.
Galeri berkenaan dibuka setiap hari dari 9 pagi hingga 5.30 petang. Bayaran masuk bagi orang dewasa ialah RM3, manakala kanak-kanak di bawah umur 12 tahun, RM1 sahaja.
- (Disunting oleh Sarimah Othman) Bernama.