malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Muhyiddin balas Amar: PAS akan selama-lamanya jadi pembangkang
ADS

Mengambil kira kekuatan PAS dan Umno sekarang, Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin berkata PAS akan selama-lamanya kekal sebagai parti pembangkang.

Beliau membalas kenyataan Naib Presiden PAS Mohd Amar Nik Abdullah bahawa tidak mustahil pentadbiran Pakatan Harapan (PH) akan tumbang dalam masa lima tahun ini.

Muhyiddin berkata, hakikatnya jelas jika perbandingan dibuat antara PH dan parti-parti pembangkang.

"Realitinya di mana Umno sekarang? Di mana BN sekarang? Tinggal nama saja.

"Daripada 13 parti komponen, sekarang tinggal tiga saja dan itu pun tidak bermaya, kedudukan pun tak ada. Umno sudah berpecah belah.

"Dan melihatkan barisan sedia ada dan (bersama-sama) PAS, bandingkan dengan PH yang menang dan berkuasa dan setiap (komponen) memperkukuhkan kedudukan PH. Jika banding antara dua ini, PAS mungkin tak akan menang," katanya kepada pemberita ketika sidang media di ibu pejabat Bersatu di Petaling Jaya hari ini.

Hari ini, Sinar Harian melaporkan Mohd Amar sebagai berkata tidak mustahil PH hanya kekal untuk lima tahun memandangkan berlaku pergolakan serius di dalamnya.

Mohd Amar

Beliau berkata ini kerana tidak wujud persefahaman antara parti dalam PH dan hanya bersepakat untuk menumbangkan BN semata-mata.

Menafikan kenyataan itu, Muhyiddin berkata PAS sebenarnya cemburu kerana PH menang PRU ke-14 dan membentuk kerajaan persekutuan.

Katanya lagi, apatah lagi PAS dahulunya menolak tawaran PH untuk menyertai gabungan itu.

"Biasalah (kata-kata PAS terhadap PH) - dia pembangkang dan PAs akan jadi pembangkang selama-lamanya.

"Kita pernah jadi pembangkang dan dulu saya kata tak nak lama jadi pembangkang.

"Alhamdulillah Allah beri laluan maka kita menang dan jadi kerajaan. Jadi PAS iri hati (sebab) kita pernah runding dengan mereka untu ksertai kita tetapi mereka tolak," katanya yang juga menteri dalam negeri.

Beliau berkata PAS menolak tawaran itu kerana berkata mahu memperjuangkan Islam.

"Perjuangan kita lebih Islamik kerana kita nak bentuk kerajaan yang lebih baik, mengurus ekonomi dengan lebih baik, menolak rasuah dan membina masa depan yang lebih cerah.

"Semua ini (anjuran) Islam. Jadi kalau mereka andaikan PH akan bertahan lima tahun, saya jangka andaian itu tidak tepat," katanya lagi.

Ukuran sebenar adalah pilihan raya

Ditanya berhubung himpunan Icerd awal bulan ini yang menarik puluhan ribu peserta, Muhyiddin berkata ia bukan gambaran tepat sokongan terhadap PAS.

Beliau berkata PAS sentiasa berjaya menarik peserta ke himpunan tetapi ia tidak semestinya diterjemah ke peti undi.

"Saya tak fikir ia boleh jadi ukuran. Ukurannya adalah pilihan raya.

"Memang kalau PAS buat himpunan ramai yang datang (termasuk) di himpunan lain juga, lebih ramai dari (himpunan) kita. Tetapi apabila pilihan raya kalah juga.

"Saya bukan pandang rendah. Tetapi ini fakta dan pernyataan sentimen rakyat.

Lihat Komen