malaysiakini logo
story-image
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Tian Chua beri 24 jam untuk Rozan, Prabakaran bermaafan
Diterbitkan:  Dec 24, 2018 12:46 PM
Dikemaskini: 6:15 AM
ADS

Kecewa dengan "perbalahan" antara Anggota Parlimen Batu P Prabakaran dan bekas pembantunya, Rozan Azen Mat Rasip mendorong Ketua Cabang PKR Batu Tian Chua campur tangan dan menggesa pertelingkahan itu dihentikan segera.

Secara tegas bekas anggota parlimen Batu itu mengarahkan Rozan dan Prabakaran memohon maaf antara satu sama lain dalam tempoh 24 jam.

"Dengan dukacita dan secara tegas saya arahkan kedua-dua pihak Rozan dan Praba untuk hentikan segala penyebaran mesej tentang perkara ini sama ada dalam media atau (aplikasi) WhatsApp.

"Kedua, Rozan dan Praba diberi 24 jam untuk tarik balik kenyataan-kenyataan yang disiarkan sebelum ini dan memohon maaf antara satu sama lain.

"Saya tidak mahu lihat perkara yang sama diulang semula. Pohon semua AJK (ahli jawatankuasa) dan anggota cabang menyokong pendirian saya. Tamatkan semua perselisihan secara terbuka serta merta," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada 22 Disember lalu Rozan yang juga naib ketua cabang PKR Batu dalam satu kenyataan mengumumkan peletakan jawatan sebagai setiausaha kepada anggota parlimen Batu itu.

Kata Rozan, terdapat "tangan ghaib" yang mencampuri urusan kerjanya membuatkan beliau mengambil keputusan untuk letak jawatan.

Tak boleh ditegur

Menjawab tuduhan Rozan, Prabakaran semalam dalam satu kenyataan mendedahkan bahawa "bekas setiausahanya" itu sebagai "tidak boleh ditegur".

Prabakaran juga turut mendakwa tidak pernah melantik Rozan sebagai setiausahanya seperti didakwa.

Sementara itu, Chua berkata beliau kecewa dengan perkara itu dan telah menasihati Rozan bahawa tindakan beliau menyebarkan peletakan jawatannya melalui aplikasi WhatsApp sebagai tidak wajar.

"Sebagai ketua cabang. Saya juga sudah nasihatkan beliau tidak keluar sebarang kenyataan lanjutan. Namun malangnya satu lagi kenyataan akhbar dikeluarkan lagi oleh Praba.

"Pada pandangan saya kenyataan tersebut mengandungi bahasa yang sangat tidak sopan. Saya boleh maafkan beliau kerana kemungkinan anggota parlimen kita masih muda.

"Tetapi perbalahan berterusan ini bukan saja memburukkan imej parti di parlimen Batu, ia juga menjejas mutu perkhidmatan kita kepada pengundi awam di dalam kawasan Batu," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen