malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Singapura kini turut siasat Goldman
Diterbitkan:  Dec 22, 2018 4:28 PM
Dikemaskini: 8:28 AM
ADS

Goldman Sachs Group Inc terus berdepan masalah undang-undang berhubung penglibatan mereka dengan syarikat pelaburan, 1MDB apabila Singapura memasukkan kumpulan perbankan itu dalam siasatan mereka.

Sejak akhir tahun 2017, pihak berkuasa Singapura telah meneliti hubungan antara 1MDB dan Goldman Sachs, yang membantu mengumpulkan dana untuk syarikat pelaburan bermasalah itu.

Namun hanya sekarang Goldman Sachs berada dalam radar siasatan, kata individu yang tahu mengenai perkara itu.

Seperti dilaporkan oleh Bloomberg hari ini, pihak berkuasa cuba menentukan sama ada sebahagian daripada yuran AS$ 600 juta (RM2.5 bilion) daripada tiga bon diterbitkan 1MDB dari tahun 2012 hingga 2013 mengalir ke unit tempatan di Singapura.

Ini merupakan perkembangan terbaru dalam siri tuduhan dan siasatan terhadap peranan Goldman Sachs mengatur penerbitan bon itu.

Minggu ini, pendakwa Malaysia memfailkan tuduhan terhadap Goldman berkaitan peranannya mengatur tiga bon itu untuk memperoleh AS$ 6.5 bilion (RM27.16 bilion) bagi 1MDB.

Inilah kali pertama tindakan jenayah diambil terhadap bank AS itu dalam skandal berkenaan. 

Semalam Malaysia dilaporkan sedang mendapatkan ganti rugi sebanyak RM31.34 bilion daripada Goldman Sachs.

Pelabur di Amerika Syarikat juga minggu ini memfailkan saman 'class action' atau tindakan kelas terhadap bank AS dan tiga eksekutifnya, bagi mendapatkan ganti rugi kerana berurusan dengan 1MDB.

Saman itu menyatakan bahawa Goldman Sachs telah membuat "pernyataan yang tidak benar dan mengelirukan" terhadap perniagaan dan operasinya, termasuk maklumat bahawa "Goldman menyertai skim penipuan dan pengubahan wang haram dengan 1MDB".

Tidak hanya itu, pada awal November, Jabatan Kehakiman AS (DOJ) telah mendakwa bekas jurubank Goldman Sach, Tim Leissner dan seorang lagi bersama ahli perniagaan yang kini menjadi buruan, Jho Low, atas pelbagai tuduhan jenayah berkaitan skandal 1MDB.

Bloomberg melaporkan bahawa Singapura kini bekerjasama secara rapat dengan DOJ, yang juga menyiasat Goldman Sachs.

Lihat Komen