malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Liew: Hubungan 'rumit' Anwar-Dr M cabaran buat PH
Diterbitkan:  Dec 21, 2018 6:36 PM
Dikemaskini: 10:36 AM
ADS

Timbalan Menteri Pertahanan Liew Chin Tong membangkitkan lima cabaran yang didepani kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk mengukuhkan demokrasi di Malaysia.

Ahli strategi DAP itu berkata, antaranya adalah hubungan "rumit" antara Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan Presiden PKR Anwar Ibrahim yang bakal menggantikannya.

"Bayangkan jika Anwar terpaksa bekerjasama dengan Umno bawah Ahmad Zahid Hamidi sementara Mahathir dengan Umno bawah Hishammuddin Hussein. Kedua-duanya adalah non-starter (tiada peluang untuk berjaya) dan tidak baik untuk demokrasi Malaysia.

"Sedar akan risiko mimpi ngeri ini, saya yakin kedua-dua pemimpin PH ini akan mencapai persetujuan demi Malaysia," katanya.

Liew bagaimanapun tidak menghuraikan lebih lanjut perkara itu.

Cabaran lain yang disebutnya ialah selepas tumbangnya pemerintahan Umno dan BN pada 9 Mei lalu, kerajaan baru perlu memperbaiki model ekonomi lama, iaitu kronisme atas nama golongan Melayu miskin.

Liew Chin Tong

"Kita perlu membina model ekonomi baru untuk semua termasuk mengangkat kedudukan orang Melayu miskin, tetapi tanpa kronisme dan rasuah Umno."

Katanya lagi, demokrasi sepenuhnya dan kebebasan media dalam masyarakat berbilang kaum hanya boleh bertahan jika naratif kebangsaan Malaysia menjadi asas bersama semua golongan.

"Kita mesti menolak tanggapan rakyat Malaysia tidak bersedia atau tidak cukup matang untuk memiliki hak dan kebebasan demokrasi yang penuh.

"Setiap pemain politik dan media tidak boleh lagi menjadi juara kaum. Perkauman boleh mencetuskan pertembungan etnik yang boleh meruntuhkan negara, merosakkan demokrasi yang baru bermula," katanya lagi.

'Ia tidak pernah mudah'

Mengulas lanjut, beliau yang juga pengerusi DAP Johor menyifatkan PH sebagai gabungan besar yang memerlukan banyak usaha agar tidak runtuh.

"Kita perlu menerima hakikat bahawa kita sedikit berbeza dalam pendekatan.

"Mengalahkan kleptokrasi Najib Razak adalah sukar, tetapi membina Malaysia lebih sukar. Ia adalah usaha yang berbaloi. Kita perlu berusaha untuk menjayakannya," katanya lagi.

Untuk menjayakan demokrasi, katanya, kerajaan perlu menerima bahawa pentadbiran bukan sahaja berkenaan keputusan menteri dan pegawai atasan birokrat.

"Untuk melaksanakan agenda pembaharuan, kita perlu banyak institusi seperti jawatankuasa parlimen dan kebebasan media untuk mewujudkan platform dan peluang kepada orang awam menyertai proses sukar mentadbir.

"Perubahan tidak pernah mudah. Mengubah cara sebuah negara diuruskan dan ditadbir memang tugas yang penuh cabaran.

"PRU 2018 merupakan penamat kepada regim Umno-BN yang berusia 61 tahun. Ia permulaan era baru dalam konteks sebuah demokrasi yang masih muda dan perlu dipupuk. Ia tanggungjawab bersama kita untuk menjayakannya," katanya lagi.

Lihat Komen